Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain dilantik sebagai Pemangku Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa serta-merta, susulan persaraan Panglima Angkatan Tentera sebelum ini, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan memaklumkan persaraan beliau adalah selaras dengan peruntukan umur persaraan wajib.
“Kementerian Pertahanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti, kepimpinan serta sumbangan beliau sepanjang menerajui ATM, selain mendoakan kelancaran segala urusan persaraan beliau,”katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, akan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan.
“Langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar serta mengelakkan sebarang kemungkinan konflik kepentingan sehingga siasatan selesai,”jelasnya.
IMedikel TV






