SEPANG: Bekerja di set penggambaran bukan sekadar menjiwai watak, tetapi juga membina keluarga baharu. Daripada janggal jadi mesra, daripada sekadar rakan sekerja berubah jadi seperti adik-beradik.
Begitulah cara pelakon dan pelawak Zizan Razak mewarnai pengalaman bersama pasukan produksi filem Terbang.
Memetik laporan Berita Harian, Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak, 41, berkata, meskipun pada awalnya sedikit kekok ketika digandingkan dengan pelakon baharu, dia memilih untuk menjadi diri sendiri demi membina keserasian.
“Awal-awal memang rasa pelik juga, tapi saya jadi diri saya sahaja. Sebagai orang lama dalam industri, saya cuba berkongsi apa yang ada supaya semua rasa selesa.
“Lama-kelamaan, kami jadi rapat macam adik-beradik. Suasana di set penuh ketawa dan gurauan. Bila hari saya tiada babak, saya pun rasa tak seronok.
“Sampai saya sanggup tolong wardrobe atau makeup mereka sebab nak terus rapat,” katanya ditemui di lokasi penggambaran filem Terbang di Sepang Bay 13 Off-Road Ranch, di sini, baru-baru ini.
Menyentuh mengenai wataknya, Zizan menyifatkan pembabitannya dalam filem Terbang sebagai satu bentuk pengorbanan apabila hanya diberikan watak mekanik kereta, bukannya pemandu rali.
“Bagi saya, itu memang pengorbanan. Rasa geram tu ada sebab bila tengok orang berlumba, saya pula hanya duduk di bengkel.
“Sepatutnya kalau cerita perlumbaan, biasanya saya yang jadi pemandu. Tapi kali ini, saya korbankan keinginan itu dan cuba jayakan watak Imran, mekanik Karamjit Singh, sebaik mungkin,” katanya.
Bercerita lanjut, Zizan berkata tawaran membintangi filem ini sukar ditolak kerana kagum dengan kisah legenda rali negara, Karamjit Singh.
“Saya tahu kisah Karamjit memang hebat. Dia harumkan nama Malaysia di serata dunia selepas beberapa kali menang, sama ada di peringkat Malaysia, Asia Tenggara atau dunia. Macam kisah Iron Man pun ada.
“Walaupun bukan pegang watak dia, peranan saya sebagai Imran tetap penting. Daripada pomen biasa, akhirnya dia dibawa ke dunia rali oleh Karamjit. Saya mahu jadi sebahagian daripada cerita ini sebab selepas baca skrip, saya tahu karakter saya menyumbang kepada kejayaan kisah ini,” katanya.
Sementara itu, Zizan turut memuji sikap pengarah terkenal, Chiu Keng Guan, yang disifatkannya terbuka dalam berkongsi idea.
“Saya tak pernah kerja dengan dia sebelum ini, tapi saya tahu kejayaan filem dia sebelum ini. Dia soft spoken, mudah berbincang dan berkongsi idea.
“Ada babak dia bagi idea, saya pun beri idea saya. Kemudian kami cari titik tengah supaya babak jadi lebih cantik. Itu yang buat saya seronok bekerjasama,” ujarnya.
Filem Terbang, yang diinspirasikan daripada kisah hidup pemandu rali legenda negara, Karamjit Singh, turut dibintangi Irfan Zaini, Shweta Sekhon dan Diana Danielle.- BH Online –
IMedikel TV






