Home Sukan ZII JIA FOKUS HADAPI GUANG ZU

ZII JIA FOKUS HADAPI GUANG ZU

165
0

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak rela dikecewakan buat kali kedua berturut-turut oleh wakil China, Lu Guang Zu apabila mereka membuat perhitungan pada aksi pusingan pertama Masters Malaysia, esok.

Bagaimanapun, pemain nombor lapan dunia itu meramalkan ia akan menjadi perlawanan yang sukar biarpun dia kini dilihat berada pada tahap prestasi terbaik selepas beraksi cemerlang ketika saingan Piala Sudirman di Suzhou, China, minggu lalu.

“Ini adalah minggu baharu untuk saya dan saya perlu bermula semula. Saya pernah kalah dengan dia sebelum ini dan saya jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

“Apa yang paling penting sekarang adalah saya kekal fokus untuk menghadapi kejohanan kali ini,” kata Zii Jia yang tewas di tangan Guang Zu pada pertemuan terakhir mereka di Terbuka Australia, November tahun lalu.

Jika berjaya mengatasi Guang Zu yang berada di kedudukan ranking ke-12 dunia, Zii Jia akan bertemu sama ada wakil Hong Kong, Lin Chu-Yi atau Chico Aura Dwi Wordoyo dari Indonesia di pusingan kedua.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong percaya dia sudah melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi saingan Masters Malaysia kali ini biarpun sekadar memanaskan bangku simpanan sepanjang kempen Piala Sudirman.

Tze Yong akan memulakan kempen menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto dan jika menang dia akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan ketiga dari Indonesia, Jonatan Christie dengan pemain daripada pusingan kelayakan.

“Saya tidak pernah menentang dia (Nishimoto) sebelum ini, jadi saya akan bincang dengan jurulatih sebagai persiapan menghadapi perlawanan itu nanti.

“Walaupun saya tidak bermain di Piala Sudirman, saya tidak fikir ia menjejaskan persiapan saya kerana di China saya tetap menjalani latihan seperti biasa. Saya harap boleh bermain dengan baik dalam kejohanan ini,” kata Tze Yong yang menghuni ranking ke-21 dunia.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia bergelar juara dalam acara perseorangan lelaki di Masters Malaysia adalah pada edisi 2016 menerusi Datuk Lee Chong Wei.

Chong Wei sebelum itu muncul juara sebanyak empat kali berturut-turut bermula dari tahun 2009 hingga 2012.

Sumber HMetro Online & AGENSI

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here