KUALA LUMPUR: Pelakon, Zara Zya memilih untuk menyulam kenangan Aidilfitri tahun ini di bumi penuh barakah apabila bakal meraikannya di Makkah bersama ibu tercinta.
Memerik laporan Berita Harian, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 41, berkata dia akan menghabiskan kira-kira dua minggu di Tanah Suci itu bersama ibunya serta seorang rakan.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat kerana mereka tidak pernah menetapkan lokasi khusus setiap kali menyambut Syawal sebelum ini.
“Ini kali pertama saya beraya di sana. Setiap kali hari raya, saya dan mama biasanya akan pergi ke mana-mana sahaja yang saya mahu.
“Saya pernah bawa mama ke pusat beli-belah dan pusing sekitar Kuala Lumpur pada hari raya pertama kerana tiada tempat hendak dituju.
“Kali ini saya tiba-tiba terfikir untuk ke sana bersama mama. Dia laju sahaja mahu ikut ke mana saya pergi. Malah, dia lebih teruja untuk ke Makkah,” katanya kepada BH Online.
Zara berkata, pada awalnya dia merancang untuk menunaikan ibadah umrah lebih awal, namun hasrat itu terpaksa ditangguhkan berikutan kekangan jadual serta faktor kos.
“Sebenarnya saya merancang hendak pergi pada bulan puasa, tetapi sibuk dengan penggambaran dan harga tiket juga agak mahal.
“Saya juga tidak pasti sama ada mampu bertahan berpuasa di sana. Jadi, saya memilih untuk pergi pada bulan Syawal yang lebih tenang. Dengar cerita, jemaah juga tidak terlalu ramai.
“Saya memang mahu fokus pada ibadah kerana sering merasakan doa yang dipanjatkan masih belum mencukupi. Perasaan rindu untuk ke sana juga sentiasa ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon drama Love You Mr. Arrogant itu tidak menafikan timbul rasa bimbang berikutan situasi semasa di rantau Timur Tengah.
Bagaimanapun, Zara tetap meletakkan kepercayaan penuh terhadap agensi yang menguruskan perjalanannya, selain memaklumkan rakannya yang juga pelakon, Yusuf Bahrin sudah berada di sana lebih awal.
“Pada awalnya memang risau apabila mendengar berita itu, tetapi saya percaya selagi pihak agensi tidak mengeluarkan sebarang makluman, kita ikut sahaja perancangan. Mereka lebih arif mengenai keadaan di sana.
“Saya juga ada penggambaran bersama Yusuf Bahrin dan dia sudah berada di sana lebih awal, sejak awal Mac lalu.
“Doakan perjalanan kami. Kami tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






