Home Sukan CARRICK BINGUNG KEPUTUSAN PENALTI TIDAK KONSISTEN

CARRICK BINGUNG KEPUTUSAN PENALTI TIDAK KONSISTEN

57
0

MANCHESTER, England: Pengurus sementara Manchester United, Michael Carrick menyifatkan ketidakselarasan keputusan penalti ketika seri 2-2 di Bournemouth sebagai “gila” selepas pasukannya dua kali mensia-siakan kelebihan awal pagi tadi.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, United mendahului menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes, namun dinafikan penalti kedua apabila Amad Diallo dijatuhkan dalam kotak penalti susulan terjahan Adrien Truffert.

Bournemouth kemudian pantas melakukan serangan balas untuk menyamakan kedudukan apabila Truffert melorongkan bola kepada Ryan Christie untuk menjaringkan gol penyamaan.

Gol sendiri James Hill kembali meletakkan United di depan sebelum Harry Maguire dilayangkan kad merah dan menghadiahkan penalti selepas menjatuhkan Evanilson.

Situasi sentuhan terhadap penyerang Brazil itu hampir sama dengan insiden membabitkan Diallo yang tidak diendahkan pengadil.

Namun VAR tidak campur tangan dalam mana-mana keputusan itu untuk meminta pengadil Stuart Attwell membuat semakan.

“Beri satu, tidak beri satu lagi, saya memang tidak faham – ini gila,” kata Carrick.

“Saya boleh terima keputusan (kad merah Maguire) itu, tetapi kami sepatutnya mendapat satu lagi penalti dan perlawanan pasti berbeza.

“Saya fikir itulah fungsi VAR, untuk menjelaskan keadaan dan memastikan konsistensi.

“Ia dua keputusan berbeza, jadi agak mengelirukan.”

Walaupun kecewa gagal melebarkan jurang di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, United masih berada pada kedudukan baik untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan.

Dengan kedudukan lima teratas hampir pasti menjamin tiket ke pentas elit Eropah, mereka kini mendahului pasukan tangga keenam Chelsea dengan kelebihan tujuh mata.

United tidak akan beraksi selama lebih tiga minggu setengah susulan rehat antarabangsa diikuti suku akhir Piala FA.

“Kami sepatutnya boleh dapat lebih malam ini, tetapi ini bukan pengakhiran dunia,” tegas Carrick.

“Kami akan kembali lebih kuat selepas rehat.” – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here