Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Kelantan menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan kenderaan jabatan itu sebagai punca kemalangan maut di KM 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli, dekat Kampung Rahmat, Bukit Bunga, petang semalam.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, timbul dakwaan kemalangan itu berlaku akibat tindakan anggota JPJ mengejar sebuah lori seperti yang ditularkan menerusi video berdurasi 34 saat adalah tidak benar dan tidak berasas.
“Ketika kejadian, kenderaan jabatan terbabit sedang menjalankan rondaan rasmi sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2026.
“Anggota terbabit mematuhi prosedur operasi serta peraturan lalu lintas yang ditetapkan,”katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga siasatan lengkap dijalankan.
“Pihak kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera.
“JPJ kekal komited melaksanakan tugas penguatkuasaan secara profesional, berintegriti dan berhemah demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan milik jabatan itu, petang semalam.
IMedikel TV






