Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Seramai 300 warga kerja di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) terlibat dalam majlis penerapan nilai murni dan majlis berbuka puasa di Galeria PjH, di sini, hari ini.
JPPKK dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, majlis itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara pengurusan tertinggi Kementerian, jabatan dan warga kerja selain menyemarakkan pengisian bulan Ramadan.
“Kita juga menjemput Imam Muda Hassan untuk berkongsi ceramah tentang Ramadan dan nilai keikhlasan iaitu mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dan professional.
“Program ini adalah kerjasama daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bank Islam,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, seramai 36 kakitangan JPPKK termasuk kumpulan sokongan seperti petugas kebersihan turut diraikan dan menerima sumbangan bantuan Aildilfitri.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan), Datuk Mohamad Azhan Md. Amir dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail.
IMedikel TV






