Home Sukan VINI ANTARA TERBAIK DUNIA – ANCELOTTI

VINI ANTARA TERBAIK DUNIA – ANCELOTTI

42
0

MIAMI: Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti, melabel Vinicius Junior sebagai ‘salah seorang pemain terbaik di dunia’ selepas penyerang berbisa Real Madrid itu meneruskan prestasi luar biasa di pentas Piala Dunia 2026 dengan meledak dua gol ketika membenam Scotland 3-0.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, dua jaringan pada separuh masa pertama di Miami itu, termasuk satu gol menerusi tandukan yang jarang dilakukannya, sekali gus memastikan Brazil melangkah ke pusingan 32 terbaik selaku juara Kumpulan C.

Ancelotti yang pernah membimbing pemain berusia 25 tahun itu selama empat musim di Real Madrid, menegaskan beliau sama sekali tidak pernah meragui keupayaan penyerang lincah berkenaan.

“Saya tahu apa yang mampu dilakukan oleh Vini. Dia bermain dengan sangat baik, malah menjaringkan gol menerusi tandukan yang amat jarang dilakukannya sebelum ini. Bagi dirinya, menyarung jersi skuad kebangsaan adalah satu penghormatan tertinggi,” kata Ancelotti.

Vinicius kini mengumpul empat gol daripada tiga perlawanan, meletakkannya sebaris dengan Kylian Mbappe (Perancis) dan Erling Haaland (Norway) dalam perebutan Kasut Emas, mengekori rapat Lionel Messi yang mendahului dengan perbezaan satu gol. 

Lebih menarik, kejayaan meledak gol dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan menyaksikan Vinicius menyamai rekod legenda Ronaldo dan Rivaldo pada edisi 2002. 

Sebelum ini, hanya Jairzinho (1970) dan Romario (1994) yang pernah melakar sejarah sama, di mana Brazil muncul juara dunia pada setiap edisi terbabit.

“Saya tidak terlalu memikirkan mengenai statistik peribadi. Jurulatih meletakkan saya di posisi baharu dan saya berjaya menyesuaikan diri dengan baik demi membantu pasukan,” kata Vinicius kepada saluran CazeTV.

Selain dua gol Vinicius dan satu jaringan daripada Matheus Cunha, perlawanan itu turut diserikan dengan kepulangan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil, Neymar, yang membuat kemunculan pertama sejak Oktober 2023 selepas pulih daripada kecederaan betis.

Ancelotti memuji profesionalisme pemain berusia 34 tahun itu yang bekerja keras untuk kembali cergas bagi membantu kempen memburu kejuaraan dunia keenam Brazil.

“Dia memiliki kualiti yang ditagih pasukan. Walaupun sudah berusia 34 tahun, dia masih mempunyai keghairahan bermain bola sepak yang sama seperti seorang kanak-kanak,” tambah Ancelotti.

Brazil kini dijadualkan berlepas ke Houston bagi mengharungi aksi pusingan 32 terbaik pada Isnin depan, di mana mereka bakal membuat perhitungan sama ada menentang Belanda, Jepun mahupun Sweden yang bakal bergelar naib juara Kumpulan F. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here