Miami Gardens, AMERIKA SYARIKAT: Juara dunia, Max Verstappen menewaskan rakan sepasukan Red Bull, Sergio Perez untuk menjuarai Grand Prix Miami walaupun bermula dari petak kesembilan.
Kemenangan itu – yang kelima untuk Red Bull daripada lima perlumbaan musim ini – melebarkan penguasaan Verstappen dalam kejuaraan pemandu dan meneruskan keunggulannya di litar itu selepas perlumbaan sulung di Miami tahun lalu.
Dominasi satu-dua Red Bull itu adalah yang keempat musim ini. Pemandu veteran, Fernando Alonso dari Aston Martin menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk podium keempatnya.
Verstappen terpaksa bekerja keras untuk kemenangan ketiganya musim ini selepas persembahan mengecewakan dalam pusingan kelayakan Sabtu lalu yang meletakkannya di petak kesembilan untuk perlumbaan.
Perez, yang bermula di petak utama, bermula cemerlang namun dikejar Verstappen yang hanya memerlukan 15 pusingan untuk berada di belakang rakan sepasukannya itu.
“Ia perlumbaan yang bagus. Saya berhati-hati di awal perlumbaan dan mula memintas satu demi satu. Saya bertahan dengan tayar keras dan ia memberi kelebihan hari ini.
“Saya bersaing hebat dengan Checo di akhir perlumbaan. Paling penting ia persaingan yang bersih, itu yang paling penting. Ia kemenangan yang hebat.
“Semalam sedikit mengecewakan. Saya lebih tenang hari ini, menang dari P9 cukup memuaskan,” kata Verstappen.
Verstappen kini mendahului Perez dengan kelebihan 14 mata dalam kejuaraan pemandu, manakala Red Bull selesa dengan kelebihan 122 mata ke atas pesaing terdekat, Aston Martin dalam kejuaraan pengeluar.
Sumber BH Online & Agensi
Imedikel TV






