Home Buletin Semasa VARIETI KENAF BAHARU TAWAR DAYA SAING LEBIH TINGGI

VARIETI KENAF BAHARU TAWAR DAYA SAING LEBIH TINGGI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dua varieti benih kenaf baharu iaitu MK1 dan MK2 menawarkan potensi hasil lebih tinggi dan daya saing lebih kukuh dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan berkata varieti baharu itu adalah hasil usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan teknologi penyinaran gama, di mana benih MK1 dihasilkan melalui penyinaran gama pada dos 300 Gray (Gy) dan MK2 pada dos 800 Gy.

“Kaedah mutasi teraruh ini digunakan untuk meningkatkan ciri agronomi tanaman kenaf agar lebih tahan terhadap perubahan iklim serta menghasilkan hasil yang lebih tinggi.

“MK1 dan MK2 menunjukkan peningkatan hasil yang ketara berbanding varieti induk V36 yang sudah digunakan melebihi 15 tahun di Malaysia.

“Berdasarkan kajian di plot tanaman LKTN di Beseri, Perlis anggaran berat batang basah di ladang adalah antara 24 hingga 32 tan sehektar iaitu peningkatan 20 hingga 60 peratus berbanding hasil semasa varieti V36 antara 20 hingga 25 tan sehektar,”katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Apresiasi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Tahun 2025, di sini, semalam.

Sebelum itu Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir merasmikan majlis sama.

Beliau berkata selain potensi hasil yang lebih tinggi, kedua-dua varieti tersebut menampilkan ciri rupa fizikal yang unik termasuk daun berbentuk palmate serta kelopak bunga MK1 yang berwarna kuning cair sepenuhnya, sekaligus ciri-ciri itu menjadikan ia mudah untuk dikenalpasti.

“Varieti MK1 dan MK2 sudah mendapat pengiktirafan rasmi melalui kelulusan Pemfailan Varieti Baharu Tumbuhan (PVBT) daripada Jabatan Pertanian Malaysia dengan nombor pemfailan PVBT 003/25 (MK1) dan PVBT 004/25 (MK2). Nama MK merujuk kepada “Malaysia Kenaf” sekaligus ia memperkukuh identiti tempatan dalam usaha memperkasa industri kenaf negara.

“Sebagai agensi kerajaan yang mempunyai teknologi, kita akan memastikan bahawa apa sahaja yang diharapkan Datuk Seri Johari, kita akan membantu dengan teknologi yang kita ada iaiitu mutasi taruhan yang mana kita boleh menghasilkan varieti baru yang lebih baik,”katanya.

Jelasnya pembangunan varieti baharu itu adalah manifestasi sokongan terhadap pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menggariskan pemerkasaan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor bukan tenaga termasuk pertanian dan industri bioteknologi bagi menyokong kemajuan sosioekonomi dan kelestarian negara

Katanya kerjasama strategik membuktikan potensi teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya dalam pembangunan varieti tanaman baharu yang lebih tahan dan produktif sejajar dengan usaha kerajaan memantapkan sekuriti makanan dan pertanian lestari dalam era perubahan iklim

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here