Home Buletin Semasa TIGA PERMATA HATI, SATU UJIAN BERAT, REDA DALAM DERITA

TIGA PERMATA HATI, SATU UJIAN BERAT, REDA DALAM DERITA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Tatkala kru IMedikel TV sampai di teratak yang dihuni lima beranak di Kampung Atas Pinggir, Tendong, di sini, pasangan suami isteri ini melontarkan senyuman kepada kami.

Namun, di sebalik senyuman mereka tersimpan kisah duka yang meruntun jiwa.

Mohamad Safuan Abdullah, 40, dan isteri, Nurul Amirah Mohamad Napi, 41, reda dengan ketentuan Ilahi apabila ketiga-tiga anak mereka disahkan menghidap Spinal Muscular Athrophy (SMA).

SMA adalah penyakit yang meragut kekuatan fizikal seseorang individu kerana terdapat kehilangan pada saraf sel-motor neuron iaitu sel saraf khusus yang terletak di saraf tunjang, yang mengawal otot badan.

Pesakit turut mengalami progresif abnormal pada tulang belakang yang dinamakan Scoliosis kerana otot belakang badan yang menyokong kedudukan tulang belakang lemah.

Menceritakan kejadian awal yang menyebabkan anak mereka menghidap penyakit SMA, menurut Safuan ketika isterinya mengandung dan melahirkan anak sulung mereka, Nurul Amanda, 11, semuanya normal dan tiada apa yang dirasakan pelik.

Namun, ketika usia anaknya satu tahun dua bulan, ketika itu anak sulung mereka baru belajar bertatih, mereka perasan ada sesuatu yang tidak kena.

“Anak saya lahir normal.Saya tidak menjangkakan anak kami menghidap penyakit SMA. Dia macam kanak-kanak biasa, boleh meniarap, merangkak, bertatih dan boleh berjalan, sampai satu tahap apabila dia berjalan selalu terjatuh.

“Masa dia terjatuh dan untuk bangun sendiri, memang nampak ada kelainan, tetapi saya tidak sangkalah sebab baru hendak belajar bertatih.

“Namun, saya tengok dalam beberapa bulan, apabila dia cuba berjalan dia jatuh. Disebabkan situasi itu, kami mengambil inisiatif untuk membawa anak sulung menjalani pemeriksaan di hospital, dan setelah menjalani beberapa ujian termasuk ujian darah, dia disahkan penghidap SMA. Dan bermula dari hari itu, anak saya memang langsung tidak boleh berjalan sampai ke hari ini,”katanya.

Reda dengan ujian itu, Safuan berkata selepas kelahiran anak kedua dan ketiga mereka, Mohamad Syahmi, 8 dan Nurul Ariana, 6, doktor menjalani ujian darah dan disahkan kedua-dua anak mereka itu juga disahkan menghidap penyakit sama seperi kakak sulung mereka.

Katanya proses tumbesaran ketiga-tiga anak mereka adalah sama, namun sampai satu tahap mereka tidak boleh berjalan.

Namun anak bongsu mereka, Nurul Ariana, sudah tidak mampu berjalan dari kecil.

Menurutnya, ketiga-tiga anak mereka kini bertemankan kerusi roda untuk melakukan aktiviti harian.

“Saya hanya reda dengan ujian ini. Cuma, saya berasa sedih juga sebab isteri saya disarankan untuk tidak lagi mengandung kerana dikhuatiri akan mengalami nasib yang sama.

“Cukup tiga orang anak istimewa ini kami uruskan bersama.Saya juga berharap diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur untuk menguruskan tiga anak ini,”katanya.

Katanya dia bersama isteri akan menguruskan Nurul Amanda dan Mohamad Syahmi ke sekolah dari segi pengurusan diri hingga pulang ke sekolah, manakala Nurul Ariana masih belum bersekolah.

Menurutnya dia bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai ayam proses di Kok Lanas dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan, manakala Nurul Amirah surirumah sepenuh masa.

Jelasnya, walaupun tempat bekerja agak jauh namun dia bersyukur kerana majikannya amat memahami situasi dia dan isteri dalam menguruskan kebajikan anak-anak istimewa mereka.

Sementara itu, jauh disudut hati ibu, Nurul Amirah berkata dia ingin melihat anak-anaknya kembali normal seperti kanak-kanak lain.

Katanya, dia agak terkejut kerana ketiga-tiga anak mereka disahkan menghidap penyakit sama.

“Kalau dari segi pengurusan diri, mereka tidak boleh uruskan sebab saya dan suami yang menguruskan. Saya harap mereka boleh normal macam kanak-kanak lain, boleh bergaul walauun fizikal mereka terbatas, biar dalam pergaualan nampak normal. Saya selalu mendoakan agar kesihatan anak-anak sentiasa baik.

“Pada awalnya agak terkejut sebab ingatkan hanya seorang yang menghidap SMA, tetapi tiga orang sekaligus. Doktor ada memaklumkan, biasanya hanya satu atau dua anak yang menghidap SMA, tetapi saya, Allah uji untuk ketiga-tiga anak,”katanya.

Menurut Nurul Amirah, mereka suami isteri perlu tabah untuk menerima ujian ini apabila tulang belakang anak sulung mereka, Nurul Amanda sudah membengkok disebabkan penyakit itu.

Kini Nurul Amanda tidur menggunakan mesin bipap sejak dua tahun lalu bagi membantu pernafasan.

“Kalau dari segi makan pun, dia sudah tidak mampu mengangkat sebab sudah tidak berdaya, tulang belakang dia jug sudah mula membengkok. Dia juga tidur menggunakan mesin bipap sebab kemungkinan paru-paru dia sudah tidak kuat.

“Doktor sarankan untuk menggunakan mesin tersebut untuk tidur. Kalau tengok keadaan dia, memang dah nampak perubahan.

“Doktor juga sarankan untuk menjalani pembedahan, tetapi saya masih belum bersedia sebab Nurul Amanda baru berusia 11 tahun. Dan dua adiknya juga akan turut menghadapi situasi sama apabila meningkat umur nanti,”katanya.

Katanya, dia dan suami perlu berulang alik ke hospital bagi menjalani pemeriksaan rutin ketiga-tiga anak di samping rawatan fisioterapi.

Tambahnya, Nurul Amanda, Mohamad Syahmi dan Nurul Ariana memakai lampin pakai buang sepanjang masa dan kos mencecah hampir RM500 setiap bulan.

Kru IMedikel TV difahamkan setiap malam sebelum tidur, Nurul Amanda sentiasa berdoa.

“Setiap hari saya berdoa supaya saya boleh berjalan.

“Saya suka pergi sekolah sebab minat belajar, guru dan kawan juga baik. Saya ada kawan baik, nama dia Qisya,”katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam, 03027020890979 atas nama Nurul Amirah Mohamad Napi.

Dengan sumbangan ikhlas anda sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here