Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
PASIR MAS: UMNO Bahagian Pasir Mas menyatakan komitmen penuh untuk bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam jihad membanteras gejala penagihan, pengedaran dadah dan gay yang semakin membimbangkan di negeri itu.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, kerjasama erat antara UMNO dan agensi penguat kuasa termasuk polis, Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting bagi memastikan masa depan anak muda di negeri itu tidak terus dihancurkan oleh najis dadah.
“Umum tahu semua kebejatan yang berlaku dalam negeri ini berpunca daripada najis dadah yang mengkhayalkan hampir ramai anak bangsa.
“Perbuatan khayal dadah ini boleh menyebabkan kes parti gay seks sangat memalukan negeri Kelantan yang diberi jolokan Serambi Mekah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata beliau, peranan semua pihak amat diperlukan tidak kira latar belakang politik, budaya dan pekerjaan, malah semua mesti bersatu hati menyokong tindakan Ketua Polis Kelantan dalam jihadnya memerangi dadah.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga perlu lebih cakna dan bergerak seiring dengan polis dalam menghapuskan ketagihan dadah serta aktiviti tidak bermoral.
Menurut Noor Hariri, wakil rakyat harus mengambil tanggung jawab dan ambil peduli bagi menyediakan aktiviti kesedaran kepada masyarakat.
“Bahkan, UMNO bahagian ini dan negeri bersedia membantu usaha pihak berkuasa dari sudut pendidikan, pencegahan serta pemulihan melalui jaringan masyarakat, NGO serta jentera parti di semua peringkat.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal menyelamatkan generasi masa depan. Namun begitu, wakil rakyat tidak boleh lepas tangan apabila dengan sekadar menjawab mulut, konon negeri lain pun lagi banyak kes dadahnya,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh masyarakat Kelantan termasuk ibu bapa, tokoh agama dan kepimpinan kampung bersama memerangi masalah itu, yang kini dilihat sebagai satu bentuk penjajahan moden yang memusnahkan daya saing umat Islam.
Beliau juga mencadangkan agar diwujudkan jawatankuasa khas komuniti bebas dadah di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan kerjasama antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pendidikan bagi mempercepatkan usaha membina masyarakat bebas dadah menjelang 2030.
IMedikel TV






