Home Sukan UEFA BAKAL UBAH FORMAT LIGA JUARA-JUARA

UEFA BAKAL UBAH FORMAT LIGA JUARA-JUARA

NYON, Switzerland: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dilaporkan mempertimbangkan tiga perubahan format untuk saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, musim pertama kejohanan yang bertambah besar itu kini hanya tinggal empat pasukan – Arsenal, PSG, Barcelona dan Inter Milan – dalam pemburuan gelaran Eropah.

Dengan peringkat separuh akhir hanya tinggal beberapa hari saja lagi, UEFA sudah mula melihat bagaimana mereka boleh menambah baik kejohanan itu bagi musim 2025-26, dan mereka boleh bertindak dengan isu ditimbulkan The Gunners.

Menurut akhbar Bild, UEFA mungkin akan mengubah peraturan mereka supaya pasukan-pasukan yang menamatkan saingan fasa liga di kelompok atas mendapat kelebihan sebagai tuan rumah untuk aksi timbal balik peringkat kalah mati.

Lapan pasukan yang layak secara automatik untuk peringkat kalah mati bermain di laman sendiri pada aksi kedua 16 terakhir, tetapi tidak pada peringkat suku atau separuh akhir.

Hasilnya, Arsenal mengharungi aksi timbal balik suku akhir menentang Real Madrid di Bernabeu walaupun menamatkan saingan fasa liga lapan anak tangga di atas gergasi Sepanyol itu. Bagaimanapun skuad kendalian Mikel Arteta masih mampu merakam kemenangan agregat 5-1.

Mereka juga terpaksa bertandang ke Paris untuk aksi kedua separuh akhir menentang Paris Saint-Germain bulan depan. Arsenal menamatkan peringkat liga di tangga ketiga, manakala PSG di tangga ke-15 dan terpaksa mengharungi pusingan play-off.

Bermain di laman sendiri untuk aksi kedua dilihat sebagai satu kelebihan, dan Arsenal dikatakan berang apabila perkara itu tidak dimiliki mereka walaupun cemerlang di peringkat liga.

Satu lagi perubahan ialah berkenaan masa tambahan. UEFA difahamkan akan menghapuskannya dan jika masih terikat secara agregat, ia akan terus ditentukan dengan penentuan penalti bagi mengurangkan beban pemain-pemain.

Perubahan terakhir membabitkan pasukan-pasukan dari negara sama yang bertembung sesama sendiri.

Musim ini menyaksikan PSG bertemu pesaing Ligue 1, Brest pada pusingan play-off, manakala Bayern Munich menentang Bayer Leverkusen dan Real bertemu Atletico Madrid di pusingan 16 terakhir.

Pertembungan sebegini dilihat tidak menarik buat peminat dan penyiar, mendorong UEFA untuk mengembalikan peraturan yang menghalang pasukan-pasukan dari negara sama bertemu sesama sendiri sehingga peringkat suku akhir.

Peraturan ini diguna pakai sebelum pertandingan dilebarkan kepada 36 pasukan dan bermula dengan peringkat liga berbanding kumpulan.

Jawatankuasa Pertandingan Kelab dijangka akan membincangkan cadangan ini di Munich pada 30 Mei, hanya sehari sebelum final musim ini di Allianz Arena – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here