BRENTONICO SAN VALENTINO: Christian Scaroni memenangi peringkat ke-16 Giro d’Italia manakala pendahulu keseluruhan, Isaac Del Toro, terpaksa bertungkus lumus mengekalkan kedudukan selepas perlumbaan penuh insiden dan kemalangan di kawasan pergunungan Alps, semalam.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro antara pelumba yang terkandas ialah bekas juara, Primoz Roglic, yang terpaksa menarik diri selepas terbabit dalam kemalangan keempatnya tahun ini.
Richard Carapaz juga terbabit dalam insiden, namun dapat meneruskan kayuhannya selepa bangkit daripada terjatuh.
Scaroni dan rakan sepasukan dari Astana, Lorenzo Fortunato – dua pelumba terakhir yang terselamat daripada kumpulan pendahulu – menamatkan perlumbaan sejauh 203 kilometer (km) dari Piazzola sul Brenta ke San Valentino dengan penuh simbolik apabila melintasi garisan penamat sambil berpegangan tangan.
“Kami berbincang dan dia kata akan berikan kemenangan ini kepada saya. Dia kawan yang luar biasa,” kata Scaroni.
Scaroni menjadi pelumba Itali pertama memenangi peringkat dalam edisi Giro tahun ini, manakala Fortunato mengukuhkan kedudukannya dalam klasifikasi Raja Bukit.
Di belakang mereka, Richard Carapaz, Derek Gee dan Simon Yates masing-masing melancarkan serangan lewat yang gagal disaingi Del Toro.
Namun, pelumba muda Mexico berusia 21 tahun itu tetap berusaha gigih untuk mengekalkan jersi merah jambu sebagai pendahulu keseluruhan, meskipun kelebihannya kini susut kepada 26 saat di hadapan Yates dan 31 saat di hadapan Carapaz.
Carapaz, juara Giro sebelum ini dan pemenang pingat emas perlumbaan lebuh raya Olimpik, mengakui bergelut sejak beberapa musim lalu.
“Saya tidak sihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ditambah pula dengan nasib malang akibat kemalangan dan sebagainya. Tapi saya mahu mencuba semula. Saya di sini untuk berjuang dan saya tidak akan pernah berputus asa,” kata pelumba Ecuador berusia 31 tahun itu di garisan penamat. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






