Home Luar Negara TRUMP UMUM PERJANJIAN DAMAI AZERBAIJAN-ARMENIA

TRUMP UMUM PERJANJIAN DAMAI AZERBAIJAN-ARMENIA

339
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

WASHINGTON: Azerbaijan dan Armenia semalam menandatangani perjanjian damai yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian perjanjian damai itu ditandatangani dalam satu pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump, yang akan meningkatkan hubungan ekonomi dua hala selepas konflik selama berdekad-dekad dan membawa ke arah penyelesaian penuh hubungan kedua-dua negara.

Perjanjian antara dua seteru di Kaukasus Selatan itu, sekiranya kekal, adalah satu pencapaian penting bagi pentadbiran Trump dan akan menimbulkan kebimbangan terhadap Moscow, yang menganggap rantau itu berada dalam lingkungan pengaruhnya.

“Sudah 35 tahun mereka berperang dan kini menjadi rakan dan akan berkawan untuk tempoh yang lama,” kata Trump pada majlis di Rumah Putih, di mana beliau diapit oleh Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan.

Konflik Armenia dan Azerbaijan tercetus sejak akhir 1980-an apabila Nagorno-Karabakh, sebuah wilayah pergunungan di Azerbaijan yang majoritinya dihuni etnik Armenia, memisahkan diri dengan sokongan negara itu.

Azerbaijan merampas semula kawalan penuh ke atas wilayah itu pada 2023, menyebabkan hampir semua daripada 100,000 etnik Armenia di kawasan berkenaan melarikan diri ke Armenia.

Trump berkata kedua-dua negara berjanji untuk menghentikan pertempuran, membuka hubungan diplomatik dan menghormati integriti wilayah masing-masing.

Perjanjian itu merangkumi hak pembangunan eksklusif AS terhadap satu koridor transit strategik melalui Kaukasus Selatan, yang menurut Washington akan memudahkan eksport tenaga dan sumber lain dengan lebih meluas.

Trump berkata AS sudah menandatangani perjanjian berasingan dengan setiap negara untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang tenaga, perdagangan dan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), bagaimanapun butirannya tidak didedahkan.

Trump juga memaklumkan bahawa sekatan terhadap kerjasama pertahanan antara Azerbaijan dan AS sudah ditarik balik, satu perkembangan yang mungkin turut membimbangkan Moscow.

Kedua-dua pemimpin memuji Trump kerana membantu menamatkan konflik berkenaan dan menyatakan mereka akan mencalonkannya untuk Hadiah Keamanan Nobel.

Trump cuba menonjolkan dirinya sebagai pendamai global sejak awal penggal keduanya sebagai Presiden AS.

Rumah Putih memberi kredit kepadanya kerana berjaya memeterai gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand dan perjanjian damai antara Rwanda serta Republik Demokratik Congo, selain antara Pakistan dan India.

Namun, beliau masih belum berjaya menamatkan perang Russia-Ukraine yang berlangsung selama tiga setengah tahun atau konflik Israel dengan Hamas di Gaza.

Pegawai AS berkata perjanjian itu dimuktamadkan hasil lawatan beberapa kali ke rantau berkenaan dan akan menjadi asas bagi usaha ke arah mengembalikan hubungan penuh antara kedua-dua negara.

Perjanjian damai itu berpotensi mengubah landskap Kaukasus Selatan, sebuah rantau pengeluar tenaga yang berjiran dengan Russia, Eropah, Turkiye dan Iran, yang dipenuhi rangkaian paip minyak serta gas tetapi dirundung isu sempadan tertutup serta konflik etnik berpanjangan. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here