Home Politik TERIMA SEMULA ‘BEKAS UMNO’ ANTARA USUL UMNO BAHAGIAN KETEREH

TERIMA SEMULA ‘BEKAS UMNO’ ANTARA USUL UMNO BAHAGIAN KETEREH

277
0

KOTA BHARU: Menerima kembali sesiapa saja yang ingin kembali kepada UMNO antara usul yang dibentangkan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Ketereh, pada Sabtu.

Ketetapan itu antara salah satu daripada tujuh usul yang dikemukakan UMNO bahagian berkenaan yang dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad di Dewan Utama Politeknik Kota Bharu.

Dalam usul kelima itu, UMNO Bahagian Ketereh mencadangkan parti mengambil sikap terbuka dan berjiwa besar untuk menerima kembali sesiapa saja yang ingin bersama semula dengan UMNO.

Ini termasuk mengambil kira keinsafan serta pengakuan kesilapan yang lalu, serta mereka yang ingin kembali menghormati struktur kepimpinan parti serta berpegang teguh kepada keputusan dan disiplin parti.

Malah, Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad dalam ucapannya berkata, meskipun berlaku perpecahan dalaman dalam kalangan UMNO bahagian itu, namun sehingga hari ini, tiada cawangan yang dibubarkan.

“…Yang pergi hanya individu, mereka yang khilaf , ada perasaan tetapi yang tinggal (ahli UMNO) adalah mereka yang berjiwa besar.

“Tidak mengapa, orang yang terkhilaf, satu hari dia akan balik, kita kena ikut sifat pengampun, sifat Ar Rahman, Ar Rahim Allah SWT.

“Nabi Muhammad S.A.W juga sangat pemaaf, saya bermula dalam politik saat UMNO sedang hancur lebur, tapi kita bangkit, akhirnya UMNO kuat semula, kita jangan takut, mesti berusaha memulihkan UMNO untuk perjuangan bangsa dan negara,” katanya.

Md Alwi berkata, UMNO juga perlu bersedia meremajakan perwakilan dengan memberi peluang golongan muda untuk menerajui parti.

Katanya, dia sendiri sudah membuat perubahan dengan meletakkan perwakilan berusia awal 40an dan 30an bagi memulihkan UMNO.

Pendekatan beliau turut dipersetujui Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Kuala Lipis, yang melihat semua cawangan perlu membuat peremajaan perwakilan.

Katanya, antara punca kekalahan besar UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum (PRU) ke 15 lalu kerana permainan persepsi dan media sosial yang dikuasai golongan muda.

“Kita perlu perkuat dalaman kita, mesti cari formula untuk menang pilihanraya dan bergerak daripada sekarang,”katanya.

Sementara itu, selain usul menerima semula bekas UMNO, UMNO Ketereh turut memberi usul berkaitan gerak kerja ahli, menjaga imej UMNO dan kajian penggubalan dasar kerajaan yang memberi kegusaran kepada rakyat seperti soal kenaikan harga diesel, penambahan kuota matrikulasi dan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here