Home Luar Negara TENTERA THAILAND CEDERA TERPIJAK PERIUK API KETIKA RONDA SEMPADAN KEMBOJA

TENTERA THAILAND CEDERA TERPIJAK PERIUK API KETIKA RONDA SEMPADAN KEMBOJA

338
0

BANGKOK: Tiga tentera Thailand semalam mengalami kecederaan akibat letupan periuk api ketika melakukan rondaan di kawasan sempadan berhampiran Kemboja.

Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian, tragedi yang berlaku selepas beberapa hari kedua-dua negara bersetuju mematuhi gencatan senjata susulan konflik selama lima hari bulan lalu itu disahkan tentera Thailand dalam satu kenyataan.

Letupan mengakibatkan seorang tentera hilang kaki, manakala dua lagi cedera kerana terpijak periuk api ketika menjalankan rondaan di kawasan antara wilayah Sisaket, Thailand dan wilayah Preah Vihear, Kemboja.

Menurut tentera, kesemua mangsa ketika ini sedang dirawat di hospital.

Thailand berkata kemalangan itu berlaku dalam wilayahnya, di kawasan yang baru-baru ini dibersihkan daripada periuk api.

Kementerian Luar Thailand dalam kenyataan berkata pihaknya akan membuat aduan kepada Kemboja kerana melanggar perjanjian yang mengharamkan penggunaan periuk api serta dakwaan menceroboh kedaulatan Thailand.

Thailand dan Kemboja menandatangani Konvensyen Ottawa yang menentang penggunaan periuk api.

Kementerian Pertahanan Kemboja semalam pula memaklumkan belum menerima pengesahan jelas daripada pasukan barisan hadapan mengenai letupan itu, sambil menegaskan tenteranya sentiasa mematuhi semangat gencatan senjata.

Difahamkan ia kejadian ketiga dalam beberapa minggu yang menyaksikan tentera Thailand cedera akibat letupan periuk api ketika menjalankan tugas di sepanjang sempadan.

Dua kes sebelum ini turut menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sehingga mencetuskan pertempuran berdarah selama lima hari.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu terjebak dalam pertempuran berdarah di sempadan dari 24 hingga 28 Julai, menjadikan peristiwa itu terburuk antara mereka dalam tempoh lebih sedekad.

Ia menyaksikan tembakan artileri dan serangan jet pejuang sehingga meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa, selain memaksa lebih 300,000 orang di kedua-dua negara dipindahkan. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here