LONDON: Harga satu siri surat rasmi dan kad percutian yang ditulis oleh Puteri Diana kepada salah seorang bekas pembantu rumahnya, dijangka dilelong dengan harga enam angka pada satu acara lelongan 27 Jun depan.
New York Post melaporkan, ia termasuk surat-menyurat yang dikarang oleh Puteri Wales itu selepas perkahwinannya dengan Putera Charles, pada 1981, serta 14 kad Krismas dan Tahun Baru yang dihantar antara 1981 dan 1995.
Ia untuk Maud Pendrey iaitu bekas pembantu rumah di rumah keluarga Spencer di Althorp di Northamptonshire.
Satu nota tulisan tangan – dalam dakwat hitam pada kepala surat diraja, bertarikh 8 September 1982 – menggambarkan bulan madu Diana dengan Charles.
Dalam surat lain yang ditulis sejurus selepas kelahiran anak lelaki pertamanya iaitu William dengan Diana menggambarkan dirinya sebagai ibu yang sangat bangga dan bertuah.
“William membawa kami kegembiraan dan kepuasan, dan akibatnya saya tidak boleh menunggu lebih banyak lagi,” tambahnya.
Satu nota pada September 1982 dengan kepala surat Istana Balmoral, memaparkan ucapan terima kasih Diana kepada pekerja itu atas hadiahnya kepada anak sulungnya.
“Kami sangat teruja dan gembira dengan kardigan pemberian kamu yang cantik, terima kasih banyak kerana memanjakan William, dia tidak layak menerimanya!,”tulisnya.
Surat itu ditandatangani dengan pesanan ‘Jaga diri dan salam sayang daripada kami semua, Diana.’.
Putera Charles dan Puteri Diana berpisah pada 1992, tahun yang digambarkan oleh Ratu Elizabeth II sebagai ‘annus horribilis’.
Turut dilelong, kad percutian yang ditandatangani 1992 dengan gambar hitam putih Putera William dan Putera Harry. – AGENSI, HMetro Online –
IMEDIKEL TV






