KOTA BHARU: Pengusaha stesyen minyak sekitar Kelantan menyatakan pendirian akan terus mengikut garis panduan dari pihak kerajaan bagi mengelak ketirisan subsidi diesel ke pihak yang tidak bertanggung jawab.
Pengerusi Pakatan Dealer-dealer Caltex Kelantan (PDCK) Che Din Mohamad berkata pihaknya sentiasa peka dan memberi peringatan kepada pengusaha-pengusaha stesen minyak untuk mengikuti peraturan.
“Saya selaku pengerusi persatuan pengusaha syarikat minyak seluruh Kelantan amnya telah memberi amaran dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha stesen minyak yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan kerajaan.
“Sekiranya saya dapat laporan ada berlaku ketirisan dengan bukti yang kukuh dalam kalangan pengusaha stesen minyak terutama ahli persatuan sendiri, saya tidak akan teragak-agak untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Promosi Pam dan Menang Caltex Kelantan 2024 yang berlangsung di Stesen Minyak Caltex Othomats Filling Servis Station, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan di sini, semalam.
Turut hadir merasmikan majlis, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail.
Menurut Che Din, pihak persatuan sering mengadakan perjumpaan bagi mendengar perkara serta isu berbangkit dalam kalangan ahli yang terdiri daripada pengusaha stesen minyak Caltex negeri Kelantan.
“Selain memberi penerangan tentang isu-isu semasa yang diumumkan pihak kerajaan, langkah ini diambil bagi memastikan pengusaha stesen minyak tidak terlibat dalam pelanggaran undang-undang yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.
Beliau menasihatkan pemilik kenderaan yang menggunakan minyak diesel sebagai bahan api agar terus mendaftar dengan KPDN bermula sekarang secara dalam talian.
“Usaha ini bagi memastikan mereka layak mendapat subsidi dan setelah itu, mereka boleh terus ke mana-mana stesen minyak Caltex bagi memohon kad bayaran flexi bagi membolehkan mereka mendapat harga subsidi setiap kali membuat pembelian,” katanya.