DORTMUND, Jerman: Pengurus England, Gareth Southgate amat berbangga untuk mengemudi England mara ke final kejuaraan utama di negara luar selepas kemenangan dramatik 2-1 ke atas Belanda.
Ollie Watkins meledak gol kemenangan pada minit akhir di Dortmund untuk England menempah pertemuan dengan Sepanyol pada aksi final di Berlin.
England terpaksa bangkit daripada ketinggalan dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan awal Xavi Simons.
“Saya sangat gembira dengan kualiti permainan kami. Saya bayangkan kalau England dapat menguasai 60 peratus penguasaan bola menentang pasukan seperti Belanda, ini menunjukkan cara England yang lebih moden,” kata Southgate.
Bos England itu dikritik hebat apabila memerlukan jaringan penyamaan lewat permainan berdepan Slovakia dan Switzerland untuk mara ke separuh akhir.
Namun dalam empat kejohanan besar di bawah kendaliannya, Southgate berjaya membimbing pasukan itu mara ke dua final, satu separuh akhir dan satu suku akhir.
Southgate juga tampak mahu menebus kekecewaan apabila tewas pada final Euro 2020 di tangan Itali menerusi penentuan sepakan penalti di Wembley, tiga tahun lalu.
“Satu-satunya sebab saya mengambil jawatan ini adalah kerana saya mahu membawa England menuju kejayaan dan menjadikan bola sepak England lebih baik.
“Jadi saya bangga apabila membawa pasukan ini mara ke final di tanah asing buat kali pertama.
“Sudah tentu kami ke sini untuk menang. Kami akan menentang pasukan terbaik di Euro 2024 dan kurang sehari berbanding mereka untuk membuat persiapan.
“Jadi ini adalah satu tugasan yang sukar tetapi kami masih di sini dan akan terus berjuang.” – AFP,BH Online –
Imedikel TV






