SINGAPURA: Rakyat Singapura mengundi hari ini menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan menerusi pilihan raya umum negara (PRU2025) yang ke-14 kali ini.
PRU2025 turut menjadi ujian besar pertama buat Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, yang berdepan pembangkang lebih bertenaga dalam suasana ekonomi tidak menentu bagi negara yang bergantung kepada perdagangan.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diterajui Lawrence memacu kemakmuran negara republik itu dengan pendekatan tegas terhadap perbezaan pendapat dijangka mengekalkan majoriti besar dalam Parlimen.
Lawrence yang meraih populariti selepas mengetuai pasukan petugas COVID-19 Singapura, mengambil alih tampuk kepimpinan tahun lalu daripada pendahulunya, Lee Hsien Loong.
Hsien Loong adalah anak kepada perdana menteri pengasas negara itu, Lee Kuan Yew yang memerintah selepas perpisahan getir dengan Malaysia pada 1965.
Lawrence beberapa kali menegaskan bahawa beliau memerlukan mandat kukuh bagi membawa Singapura yang sangat bergantung kepada perdagangan menghadapi ketidaktentuan ekonomi susulan pelaksanaan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Beliau mengingatkan bahawa Singapura akan terjejas teruk jika Trump meneruskan pelaksanaan tarif yang diumumkan tetapi digantung sementara bagi kebanyakan negara, kecuali China.
Justeru, beliau berkata, Singapura perlu kekal terbuka dan berdaya saing bagi mengurangkan kesannya.
Menurut pemerhati politik, majoriti besar PAP dalam sistem Parlimen Singapura sudah menjadi kelaziman dalam landskap politik negara maju itu, dan sebarang peningkatan kerusi oleh pembangkang dianggap satu kemenangan bermakna.
Bagaimanapun, dominasi PAP kini semakin dicabar oleh pengundi yang lebih lantang, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang dilihat lebih terbuka kepada suara politik alternatif.
Pada pilihan raya 2020, parti pembangkang terbesar negara itu, Parti Pekerja (WP), mencatat sejarah apabila memenangi 10 daripada 93 kerusi yang dipertandingkan, berbanding empat kerusi sebelum ini.
WP yang kini lebih kukuh daripada segi strategi politik berharap dapat mengekalkan momentum itu dengan barisan calon yang berkewibawaan termasuk seorang peguam ternama.
Parti itu menarik kehadiran besar dalam ceramah-ceramah sepanjang tempoh berkempen, sebagaimana dalam pilihan raya sebelum ini, namun jumlah besar itu jarang diterjemahkan kepada kemenangan undi.
Mereka turut menegaskan perlunya lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang bagi memastikan PAP tidak memegang ‘cek kosong’ dan dapat dipertanggungjawabkan.
Sementara itu, kira-kira 2.75 juta pengundi layak memilih 97 ahli parlimen selepas tempoh kempen selama sembilan hari.
Pusat pengundian akan dibuka mulai jam 8.00 pagi dan ditutup 12 jam kemudian, dengan keputusan awal dijangka diumumkan sekitar tengah malam ini. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






