Home Sukan ‘TERIMA KASIH DE BRUYNE’ – GUARDIOLA

‘TERIMA KASIH DE BRUYNE’ – GUARDIOLA

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola merumuskan sumbangan Kevin De Bruyne ketika kemenangan penting 1-0 ke atas Wolverhampton Wanderers, hari ini dengan ungkapan yang sering beliau gunakan sebelum ini iaitu ‘terima kasih’.

Memetik laporan REUTERS menerusi Harian Metro, De Bruyne menjaringkan satu-satunya gol dalam penampilan kedua terakhirnya di Stadium Etihad, memberikan kemenangan penting kepada City dalam usaha mereka merebut slot ke Liga Juara-Juara.

Pemain tengah Belgium berusia 33 tahun itu sudah mengumumkan bulan lalu bahawa dia akan meninggalkan pasukan apabila kontraknya tamat pada penghujung musim ini.

“Cuma terima kasih. “Sumbangannya dalam perlawanan menentang Crystal Palace ketika kami ketinggalan 0-2 dan dia muncul menyelamatkan pasukan. Hari ini pula dengan jaringan penting.

“Saya gembira musimnya akan berakhir dengan cara begini dan kami masih ada satu lagi perlawanan di Etihad,” kata Guardiola kepada Sky Sports ketika ditanya mengenai De Bruyne.

De Bruyne sebelum ini menyuarakan rasa terkejut kerana tidak ditawarkan lanjutan kontrak oleh City, sambil menegaskan bahawa dia masih mampu memberi sumbangan besar.

“Ramai rakan sepasukan mengatakan sedih saya perlu pergi, tetapi begitulah kadangkala kehidupan. Saya sudah berikan segalanya dan saya mahu menang.

“Saya rasa sudah buktikan yang saya masih mampu bermain, kalau tidak saya tidak akan dapat lakukan semua ini dalam empat atau lima minggu terakhir,” kata De Bryune.

Guardiola kelihatan kurang selesa apabila ditanya sama ada masih ada kemungkinan untuk De Bruyne kekal lebih lama.

“Saya mahukan yang terbaik untuk Kevin, dan tanpa dia kami tak mungkin capai sejauh ini selama bertahun-tahun. Dia pemain yang luar biasa, tetapi keadaannya sekarang seperti itulah.

“Hampir mustahil untuk gantikan pemain seperti ini. Bukan sahaja dari segi prestasi, tetapi apa yang dia tinggalkan dalam hati peminat kami selama ini. Kejayaan yang kami raih adalah milik barisan pemain,” katanya.

Sejak menyertai City dari kelab Jerman, VfL Wolfsburg pada 2015, De Bruyne sudah menjulang 16 trofi – termasuk enam kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara pada 2023.

Dia juga dua kali dinobatkan sebagai Pemain Terbaik EPL. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here