MOSCOW: Sebahagian serpihan kapal angkasa era Soviet yang terperangkap di orbit selama lebih setengah abad dijangka jatuh semula ke bumi pada Sabtu.
Menurut laporan Agensi menerusi Harian Metro, anggaran semasa menunjukkan, ia akan memasuki atmosfera kira-kira 9.16 pagi, namun anggaran itu boleh berubah beberapa jam lebih awal atau lewat.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) berkata, kapal angkasa berkenaan dikenali sebagai Kosmos 482 dilancarkan pada tahun 1972 untuk misi ke planet Zuhrah, namun gagal keluar dari orbit bumi sebelum pecah kepada empat bahagian.
Katanya, kini satu daripada serpihan itu dipercayai kapsul pendaratan dijangka memasuki semula atmosfera bumi.
Sementara itu, Agensi Angkasa Eropah (Esa) berkata, kapsul berkenaan mungkin tidak musnah sepenuhnya semasa jatuh dan sebahagiannya boleh terselamat daripada terbakar.
Penganalisis kanan serpihan angkasa Esa, Stijn Lemmens berkata, peluang untuk terkena objek ini lebih rendah, namun kapal angkasa pada masa depan harus direka supaya boleh mendarat sendiri ke bumi secara terkawal.
Ini katanya, penting bagi mengelak risiko jatuh ke kawasan penduduk dan kurangkan pencemaran serpihan angkasa.
Kapsul itu yang berstruktur bulat, keras dan seberat hampir setengah tan, direka khas untuk menahan suhu dan tekanan melampau di Venus.
Jadi tak hairanlah jika ia masih mampu bertahan selepas 50 tahun terapung di angkasa.
Namun, sistem payung terjun yang sepatutnya digunakan untuk memperlahankan pendaratan ke Venus dipercayai sudah rosak akibat pendedahan berpanjangan di ruang angkasa.
Walaupun risiko kepada manusia sangat rendah, kapsul itu berkemungkinan mendarat di mana-mana lokasi antara latitud 51.7° utara dan selatan, iaitu kawasan yang meliputi kebanyakan dunia yang dihuni manusia dari London hingga ke hujung selatan Amerika Selatan. -Agensi, HMetro Online-
IMEDIKEL TV






