NARATHIWAT: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro perintah berkurung waktu malam dikuatkuasakan di Narathiwat, manakala kawalan keselamatan di pintu sempadan dengan Malaysia turut diperketatkan susulan kejadian bom dan pembakaran di 11 stesen minyak di tiga wilayah selatan pada awal pagi Ahad.
Memetik laporan Bangkok Post, perintah berkurung itu berkuat kuasa serta-merta bermula 9 malam hingga 5 pagi sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Sekatan pergerakan diumumkan pada Ahad oleh Komander Pasukan Petugas Narathiwat, Mejar Jeneral Yod-arwut Puengpakdee menggunakan kuasa di bawah Akta Undang-Undang Tentera.
Kejadian pembakaran dan letupan bom di Narathiwat, Pattani serta Yala menyebabkan agensi keselamatan meningkatkan langkah pencegahan.
Kawalan lebih ketat dilaksanakan di semua pusat pemeriksaan sempadan Thailand-Malaysia di Narathiwat, termasuk pemeriksaan rapi terhadap kenderaan, pengembara dan barangan.
Sekatan ini terpakai kepada warga Thailand mahupun warga asing serta membabitkan semua bentuk perdagangan rentas sempadan.
Sesiapa yang mempunyai alasan mendesak atau penting untuk bergerak semasa waktu berkurung mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak tentera, polis atau pegawai pentadbiran tempatan seperti ketua kampung dan perlu membawa pas kebenaran.
Panglima Tentera Bahagian Keempat, Leftenan Jeneral Norathip Poinok yang juga Pengarah Bahagian 4 Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) mengarahkan tahap keselamatan maksimum di seluruh wilayah sempadan selatan dan menempatkan semua unit dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang masa.
Beliau mengadakan mesyuarat tergempar bagi menyelaraskan tindakan balas dan mempercepat usaha memburu penjenayah sambil berikrar akan mengambil tindakan undang-undang segera terhadap mereka yang terbabit.
“Saya menggesa orang ramai supaya bertenang, mengikuti perkembangan hanya daripada sumber rasmi dan berhati-hati apabila melalui kawasan berhampiran lokasi kejadian,” katanya.
Katanya, orang ramai boleh membantu pihak berkuasa dengan melaporkan individu atau objek mencurigakan melalui talian ISOC Bahagian 4 di 1341 atau kepada unit pasukan petugas tempatan yang beroperasi 24 jam sehari.
Beliau turut memberi amaran bahawa sesiapa yang didapati membantu pelaku termasuk menyediakan tempat perlindungan, pengangkutan atau makanan boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda 40,000 baht (kira-kira RM5,220). – Agensi, HMetro Online –
IMedikel TV






