Home Sukan SEAN REHAT SEKETIKA, CEDERA DI RUSUK KIRI

SEAN REHAT SEKETIKA, CEDERA DI RUSUK KIRI

286
0

KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan FC (NSFC) terpaksa melupakan seketika khidmat penyerang muda, Sean Eugene Selvaraj, dalam mengharungi saingan Liga Super berikutan pemain terbabit cedera di bahagian rusuk dalam insiden pada bulan lalu.

Penyerang berusia 25 tahun itu memaklumkan mengalami retak di bahagian rusuk kiri selepas disiku seorang pemain Kuching City FC dalam pertembungan di gelanggang lawan, 4 Jun lalu.

“Saya tidak dapat membantu pasukan buat sementara waktu ini selepas mengalami retak di bahagian rusuk kiri yang berlaku ketika perlawanan menentang Kuching City, awal Jun lalu.

“Walaupun kecederaan itu semakin beransur pulih namun belum membolehkan saya diturunkan dalam mana-mana perlawanan liga buat masa ini.

“Saya menjangkakan kemungkinan dalam tempoh antara dua ke tiga minggu lagi akan pulih sepenuhnya dan mungkin berpeluang untuk kembali beraksi,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Sean, ketika ini dia hanya menjalani latihan ringan khususnya di gimnasium bagi mengekalkan tahap kecergasan.

Dia berharap dapat segera beraksi kerana sehingga kini belum menjaringkan sebarang gol musim ini, malah hanya dapat beraksi sekitar 180 minit permainan daripada keseluruhan 15 perlawanan liga, setakat ini.

“Memang rasa kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan. Saya mengharapkan proses pemulihan ini berjalan dengan baik dan dapat kembali beraksi dalam perlawanan,” kata pemain kelahiran Port Dickson itu.

Sean menyifatkan pertembungan dengan Johor Darul Ta`zim (JDT) di tempat lawan Sabtu ini, adalah cabaran getir yang bakal dihadapi skuad Hobin Jang Hobin selepas tewas 0-7 pada aksi pertama di laman sendiri, pada Mac lalu.

Namun dia yakin rakan-rakannya sudah membuat persiapan rapi dari segi mental dan fizikal dalam mendepani cabaran berkenaan dan akan berusaha memberikan terbaik bagi mempertahankan maruah pasukan.

“Saya yakin dan percaya pasukan akan dapat menampilkan persembahan lebih baik dengan berikan tentangan habis-habisan terhadap JDT, untuk mendapatkan keputusan yang boleh dibanggakan,” kata pemain yang meledak tiga gol dalam liga musim lalu.

Sumber HMetro Online

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here