Home Luar Negara RUSSIA ENGGAN TERLALU BERTOLAK ANSUR DENGAN UKRAINE

RUSSIA ENGGAN TERLALU BERTOLAK ANSUR DENGAN UKRAINE

MOSCOW: Russia enggan terlalu bertolak ansur dalam rancangan damai bagi Ukraine, susulan kebocoran rakaman panggilan membabitkan Duta Khas Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff yang menasihati Moscow mengenai perkara itu.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, kebocoran itu membabitkan transkrip panggilan antara Witkoff dan pembantu dasar luar Putin, Yuri Ushakov, mendedahkan Witkoff memberi nasihat kepada Ushakov mengenai cara membentangkan pelan damai kepada Presiden AS, Donald Trump.

Witkoff dijangka berkunjung ke Moscow minggu depan bersama pegawai kanan AS lain untuk mengadakan rundingan dengan pemimpin Russia mengenai kemungkinan pelan menamatkan perang berdarah Ukraine selama hampir empat tahun.

Kebocoran itu mencetuskan kritikan luar biasa daripada rakan Republikan Trump sendiri, yang selama ini banyak menyokongnya sejak penggal keduanya bermula.

Wakil Kongres, Brian Fitzpatrick, yang menggesa perubahan strategi, menggambarkan panggilan Witkoff sebagai masalah besar dan satu sebab mengapa sandiwara dan mesyuarat rahsia seperti itu perlu dihentikan.

Senator Mitch McConnell, bekas ketua majoriti Senat, berkata Russia tidak patut diberi ganjaran.

“Perjanjian yang memberi ganjaran kepada pencerobohan tidak berbaloi. AS bukan orang tengah neutral dan kita tidak harus bertindak seperti itu,” katanya di X.

Sebaliknya, Trump berkata kemajuan sedang dicapai dan Moscow membuat beberapa konsesi, walaupun perang menyaksikan tentera Russia terus mara.

Dasar AS terhadap perang Ukraine banyak berubah sejak musim panas lalu.

Sidang kemuncak tergesa-gesa Trump dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, di Alaska sebelum ini menimbulkan kebimbangan bahawa Washington sanggup menerima banyak tuntutan Russia, tetapi akhirnya membawa kepada tekanan tambahan AS terhadap Moscow.

Cadangan damai terbaharu itu mengejutkan Washington, Eropah dan Kyiv, mencetuskan kegusaran bahawa Trump mungkin memaksa Ukraine menerima perjanjian damai yang dilihat berat sebelah memihak kepada Moscow.

Dalam pada itu, Trump, ketika ditanya wartawan di Air Force One mengenai Witkoff seperti ‘membimbing’ pegawai Russia, beliau menepis perkara itu dan menyifatkannya sebagai perunding yang baik dan perkara biasa dalam rundingan.

Sebaliknya, Russia menyifatkan kebocoran itu sebagai cubaan tidak boleh diterima untuk menggagalkan usaha damai dan sebagai satu bentuk peperangan hibrid.

Dalam pada itu, ditanya sama ada perjanjian damai sudah hampir, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, dipetik agensi berita Interfax sebagai berkata: “Tunggu kerana ia masih terlalu awal untuk menyatakannya.” – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here