Home Buletin Semasa RUNDINGAN DAMAI KONFLIK THAI-KEMBOJA TANGGUNGJAWAB BERSAMA TERMASUK PEMIMPIN ASEAN – PM

RUNDINGAN DAMAI KONFLIK THAI-KEMBOJA TANGGUNGJAWAB BERSAMA TERMASUK PEMIMPIN ASEAN – PM

281
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU:Konflik Thailand-Kemboja yang berlaku baru-baru ini membawa kepada rundingan perdamaian hasil tanggungjawab bersama termasuk pemimpin ASEAN.

Bukan itu sahaja, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Datuk Mohammad Nizam Jaffar, menjalankan tugas dengan cemerlang dengan mengadakan perbincangan bersama jeneral yang terbabit.

 ”Panglima Angkatan Tentera jalankan tugas dengan sangat cemerlang. Selepas itu beliau terus terbang ke Bangkok, Phnom Pehn, ke sempadan untuk berbincang dengan jeneral-jeneral bertanggungjawab.

”Itu caranya, bukan saya. Saya jalankan tugas saya, Menteri Luar dengan Menteri Luar, jeneral dengan jeneral, baru kita capai julung kalinya satu perdamaian yang cepat dan dilaksanakan dengan baik,”katanya ketika berucap di sini.

Jelasnya, hasil rundingan tersebut, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut menghubunginya bagi mengucapkan terima kasih.

”Jadi apabila Presiden Trump menghubungi saya dan mengucapkan terima kasih. Saya beritahu bukan saya seorang, pemimpin-pemimpin ASEAN menyokong kita.

”Kerajaan dan tentera Thailand, kerajaan dan tentera Kemboja sangat bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian.

”Presiden Trump dan Presiden China juga membantu, jadi beliau (Trump) hendak datang ke Kuala Lumpur Oktober ini.

“Dengan China sahabat baik, dengan Amerika rakan dagang yang lama. Mereka melihat kita disebabkan politik di Malaysia stabil dasarnya jelas dan kita cuba sedaya upaya bersihkan sistem ini pada amalan-amalan lampau yang kurang sihat,”katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan Program Rancakkan Madani Kelantan dan Peluncuran Program Aku Kasih Malaysia di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here