Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan melibatkan emas bernilai RM100,000 di sebuah rumah di Bunut Payong di sini pada 12 Januari lepas.
Tertuduh, Mohd Zafrizar Ibrahim, 48 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata melibatkan emas milik seorang wanita berusia 56 tahun dengan merampas dua utas rantai tangan dan satu utas rantai leher.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di lorong Sekolah Kebangsaan Bunut Payong, di sini antara jam lebih kurang 3 pagi hingga 4 pagi, pada 12 Januari lepas.
Bagi dakwaan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, yang boleh membawa hukuman hingga 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kes itu serius.
Kamarul Hasyime memohon mahkamah menetapkan sebutan lantikan peguam terhadap tertuduh pada 24 Oktober depan.
Hakim mengarahkan tertuduh ditahan reman.
IMedikel TV






