KUALA LUMPUR: Pelakon era 1990-an, Ridani Ghani, 52, meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi tadi di Hospital Selayang selepas bertarung dengan kanser ovari.
Berita pemergian Allahyarham disahkan teman rapatnya, Yaya Maembong kepada BH Online.
Memetik laporan Berita Harian, Yaya, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara bagi urusan pengurusan jenazah.
“Assalamualaikum, saya baru menerima berita Ridani sudah meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi tadi.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara untuk diuruskan,” katanya.
Allahyarham sebelum ini disahkan menghidap kanser ovari pada Oktober tahun lalu.
Pada Sabtu lalu, Ridani dimasukkan ke Hospital Selayang selepas keadaan kesihatannya dilaporkan semakin merosot.
Difahamkan, Allahyarham berada dalam keadaan sangat kritikal dan menerima rawatan rapi.
Ridani meninggalkan dua cahaya mata, Muhammad Faris Syamir Jaafar, 35, dan Muhammad Faiq Faisal Jaafar, 33.
Semalam, anak sulung Allahyarham, Muhammad Faris memaklumkan ibunya ditempatkan di Wad Penjagaan Paliatif Hospital Selayang selepas keadaan kesihatan semakin membimbangkan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan ibunya tidak ditidurkan sepenuhnya.
Terdahulu, penyampai radio, Sharifah Shahirah atau Shiera turut memuat naik hantaran di media sosial memaklumkan Ridani yang menerima rawatan di Hospital Selayang berada dalam keadaan tidak stabil.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah membintangi beberapa drama popular termasuk Romeo dan Juliet, Kilauan dan siri drama Spektra.-BH Online-
IMedikel TV






