Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan merancang mengumpulkan ibu bapa golongan remaja yang terbabit dalam kegiatan merempit bagi menyertai program kesedaran dalam usaha menangani kegiatan itu yang masih berulang walaupun pelbagai operasi penguatkuasaan dijalankan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan penguatkuasaan termasuk tangkapan dan saman maksimum yang dilakukan pihaknya dilihat belum mampu memberi kesan jangka panjang apabila kegiatan berkenaan kembali berlaku selepas operasi tamat.
Menurutnya, polis kini merancang satu program bersama agensi berkaitan di Kelantan dengan memberi fokus kepada aspek kesedaran dan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak yang terbabit dalam kegiatan merempit.
“Isu rempit ini isu yang tidak sudah. Kita tangkap, tahan, denda maksimum, hari ini kita buat operasi, minggu depan dia buat lagi.
“Jadi benda ini, saya sudah aturkan satu program bersama agensi-agensi di Kelantan untuk kumpulkan mat rempit untuk kita buat program kesedaran dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Aktiviti Riadah Bermotosikal dan Sumbangan Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) sempena Sambutan Hari Polis Ke-219 dan Program Flag Off Sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata, antara pendekatan yang sedang difikirkan termasuk membawa peserta melihat sendiri kesan kemalangan serta situasi berkaitan kematian bagi memberi kesedaran lebih mendalam mengenai risiko kegiatan berkenaan.
Katanya, beliau sendiri akan turut berjumpa dengan ibu bapa terbabit untuk menyampaikan penerangan mengenai isu merempit.
“Saya fikirkan untuk buat satu program, kumpul semua mat rempit Kelantan untuk buat satu program kesedaran dan mungkin saya sendiri kita akan atur ceramah-ceramah dan sebagainya.
“Akhirnya saya sendiri akan berjumpa dengan mereka untuk saya bercakap sedikit pasal isu rempit,” katanya.
Menurutnya, isu berkenaan bukan hanya berlaku di satu lokasi kerana golongan terbabit didapati sering berpindah ke kawasan lain apabila mengetahui operasi penguatkuasaan sedang dijalankan.
Beliau berkata, kawasan seperti Tunjong, Melor dan Pengkalan Chepa di sekitar lapangan terbang antara lokasi yang menjadi perhatian pihak polis.
Katanya, polis menjalankan operasi secara berkala terutama pada hujung minggu, namun anggota berdepan keadaan apabila golongan rempit tidak muncul ketika operasi dijalankan dan kembali selepas pihak berkuasa beredar.
“Macam di Pengkalan Chepa, di lapangan terbang itu banyak jalan-jalan tikus. Kita buat di satu tempat, dia masuk ke jalan-jalan lain dan sebagainya.
“Bukan kita tak buat, kita buat berkala, khususnya hari minggu. Apabila kita buat, dia tak datang. Takkan kita nak duduk 24 jam di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata kira-kira lima lokasi panas kegiatan merempit dikenal pasti ketika ini, khususnya di sekitar Kota Bharu.
Beliau berkata, polis turut mengambil kira faktor usia dalam menentukan pendekatan terhadap golongan yang terbabit, terutama jika melibatkan remaja bawah umur.
Katanya, tindakan perlu dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak hanya menghukum golongan berkenaan, sebaliknya turut memberi kesedaran kepada mereka dan keluarga.
“Kalau bawah umur, kita boleh ambil mereka satu-satu, ambil tindakan terhadap pengabaian dan sebagainya terhadap mak bapa dia.
“Tapi kalau bapa terkena hukuman berat, siapa nak jaga anak dia pula nanti? Lagi dia merempit, kita nak hukum dia, tak boleh, boleh denda saja” katanya.
IMedikel TV






