Home Buletin Semasa PENYELUDUP MANUSIA SEMAKIN AGRESIF, SANGGUP LANGGAR ANGGOTA PGA

PENYELUDUP MANUSIA SEMAKIN AGRESIF, SANGGUP LANGGAR ANGGOTA PGA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kegiatan penyeludupan manusia di Kelantan dikesan semakin agresif apabila suspek sanggup melanggar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika cuba meloloskan diri daripada tindakan penguat kuasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian dua anggota PGA dilanggar baru-baru ini dipandang serius, malah tindakan sedemikian disifatkan tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

“Penyeludupan manusia ini memang serius. Mereka sanggup melanggar anggota PGA memang biadap dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Jadi kita akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana penyeludup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Aktiviti Riadah Bermotosikal dan Sumbangan Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) sempena Sambutan Hari Polis Ke-219 dan Program Flag Off Sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata, kegiatan penyeludupan manusia ketika ini dilihat banyak menggunakan laluan laut sebelum memasuki sungai-sungai di Kelantan.

Katanya, tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya penyeludup bertindak menghalang kenderaan penguat kuasa atau cuba melarikan diri menggunakan cara yang membahayakan anggota.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mereka. Kita akan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang sanggup menghalang kenderaan pasukan penguat kuasa dan sebagainya.

“Kita akan ambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kes anggota PGA dilanggar setakat ini masih dianggap sebagai kejadian terpencil sepanjang beliau bertugas di Kelantan.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan semua anggota yang bertugas di lapangan, khususnya PGA dan Task Force di Kelantan, supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, anggota perlu mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang sekiranya berdepan situasi yang mengancam keselamatan mereka.

“Saya nasihatkan kepada semua anggota yang bertugas di lapangan, terutama PGA dan juga Task Force saya di Kelantan ini untuk berhati-hati dan ambil tindakan yang sepatutnya dari sudut undang-undang.

“Maknanya mempertahankan diri dari sudut undang-undang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pada 15 Ogos lepas, seorang tekong darat yang membawa enam wanita pendatang tanpa izin warga Myanmar bertindak agresif apabila melanggar dua anggota PGA ketika pemeriksaan dilakukan sebelum ditahan di Kampung Chat Palekbang, Tumpat. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here