Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjalinkan hubungan lebih erat dengan Rejimen 505 Askar Wataniah dalam bidang pembangunan bakat dan pendidikan penuntut.
Tumpuan kerjasama berkenaan turut membabitkan aspek latihan ketenteraan dan kepimpinan serta pembabitan sukarelawanan.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias, berkata kerjasama dengan Rejimen 505 Askar Wataniah mempunyai nilai strategik dalam memperkukuh pembangunan modal insan UMPSA, khususnya melalui pendedahan kepada aspek disiplin, kepimpinan, ketahanan diri dan kerja berpasukan.

“Kerjasama dua agensi ini menjadi satu platform yang dapat melengkapkan pembangunan warga UMPSA dari aspek akademik dan profesional selain aspek kepimpinan, disiplin, ketahanan diri serta semangat kesukarelawanan.
“Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Rejimen 505 Askar Wataniah boleh dikongsikan dengan warga universiti, manakala UMPSA pula mempunyai kepakaran akademik, program pengajian serta kemudahan yang boleh dimanfaatkan secara bersama.
“Kerjasama dua hala ini diharap dapat menghasilkan kumpulan individu yang memiliki dua kemahiran dalam satu masa,” katanya selepas menerima kunjungan delegasi Rejimen 505 Askar Wataniah ke UMPSA Pekan, di sini, baru-baru ini.
Delegasi Rejimen 505 Askar Wataniah diketuai Timbalan Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohd Hasry Bohari.
Hadir sama Ketua Kompeni Alpha Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah, Mejar Hazami Hussin dan Ketua Kompeni Alpha Batalion Ke-Empat Rejimen 505 Askar Wataniah, Mejar Dr Imaduddin Abidin.
Beliau berkata, pihaknya bercadang mengadakan sesi taklimat dan promosi kepada kakitangan UMPSA bagi memberikan pendedahan yang lebih jelas mengenai peluang menyertai pasukan sukarela tersebut.
Menurutnya lagi, penglibatan kakitangan universiti dalam pasukan Askar Wataniah berpotensi membentuk barisan pelapis yang mempunyai nilai kepimpinan dan kesukarelawanan yang tinggi.
“Perbincangan turut merangkumi potensi penggunaan kemudahan dan fasiliti UMPSA bagi menyokong pelaksanaan program serta aktiviti Askar Wataniah.
“Antara kemudahan yang dikenal pasti berpotensi dimanfaatkan termasuk ruang latihan, bilik kuliah, kolam renang serta kemudahan pengangkutan universiti.
“Pihak Rejimen 505 Askar Wataniah turut terbabit mengadakan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 2/2026, bulan depan yang melibatkan pelajar program diploma UMPSA yang menganggotai Askar Wataniah,” katanya.
IMedikel TV






