Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Tempoh reman seorang lelaki berhubung kes kematian wanita hamil tujuh bulan dengan kesan tembakan pada perut di Kampung Teresek, Repek, di sini, disambung selama tujuh hari bermula 31 Julai hingga 6 Ogos depan.
Perintah lanjutan reman dibenarkan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas tempoh tahanan tujuh hari suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek tiba di mahkamah dengan menaiki van polis kira-kira pukul 8.42 pagi dengan berpakaian lokap berwarna ungu.
Sebelum itu, suspek telah direman selama tujuh hari bermula 24 Julai hingga 30 Julai.
Terdahulu media melaporkan lelaki berusia 24 tahun diburu berhubung kes pembunuhan wanita hamil tujuh bulan yang ditembak pada perut sebelum mayatnya ditinggalkan dalam kereta di Kampung Teresek, Repek, di sini tiga tahun lalu akhirnya ditahan 23 Julai lalu.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 4 petang dalam keadaan terbaring di tempat duduk kereta jenis Nissan Cefiro.
IMedikel TV






