Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut berdukacita dan merakamkan ucapan takziah terhadap insiden nahas helikopter yang mengorbankan Presiden Iran, Ebrahim Raisi.
Beliau berkata, pemergian Raisi merupakan kejadian yang sangat menyedihkan dan meninggalkan kesan yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela rakyat Palestin.
“Kita mengucapkan ucapan takziah kepada Presiden Iran. Ini satu kematian yang menyedihkan kerana kesemua urusan dunia ini termasuklah bukan sahaja kawan bahkan pasukan lawan juga menaruh perasaan simpati,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah, di Kompleks Balai Islam, Lundang, di sini, pada Selasa.
Terdahulu media melaporkan sebuah helikopter yang dinaiki Presiden Iran dan pegawai kanan di barat laut Iran terhempas ketika hendak mendarat di Wilayah Varzaqan pada Ahad.
Raisi ketika itu berada dalam penerbangan pulang daripada satu majlis untuk merasmikan sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan.
IMEDIKEL TV






