Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan masih giat mengesan suspek dikenali sebagai Luna, yang dipercayai berada di negara jiran, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Menurut beliau, beberapa rumah yang dikaitkan dengan Luna di sekitar Kota Bharu sudah diperiksa, namun usaha pengesanan masih gagal.
“Setakat ini, Luna dipercayai berada di Thailand. Sehingga hari ini, tiada pengesanan berjaya dibuat di negara ini, dan selagi suspek tidak ditemui, polis tidak boleh membuat kenyataan lanjut,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata pihak polis juga belum menerima sebarang maklumat baharu mengenai suspek daripada pihak berkuasa di negara jiran.
“Kita belum dapat apa-apa perkembangan daripada pihak berkuasa di negara jiran berkenaan suspek,”katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang dipercayai dalang sindiket dadah kini menjadi buruan polis selepas berjaya menangkap tiga individu dan merampas dadah bernilai RM1.82 juta, di Kuala Krai, baru-baru ini.
IMedikel TV






