Home Luar Negara ISRAEL BANTAH BARISAN PANEL GAZA PILIHAN TRUMP

ISRAEL BANTAH BARISAN PANEL GAZA PILIHAN TRUMP

BAITULMAQDIS: Israel menyuarakan bantahan terhadap barisan panel Gaza yang akan beroperasi di bawah Lembaga Keamanan Presiden AS Donald Trump, badan yang menyelia tadbir urus pasca perang di wilayah Palestin itu.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, panel itu, dikenali sebagai lembaga eksekutif Gaza, secara khususnya menyenaraikan Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dan seorang pegawai Qatar, seperti diumumkan Rumah Putih pada Jumaat.

Lembaga Keamanan mula dibentuk pada Sabtu apabila pemimpin Mesir, Turkiye, Argentina dan Kanada dipelawa menyertainya.

Trump sudah mengisytiharkan dirinya sebagai pengerusi badan itu, ketika beliau mempromosikan visi kontroversi pembangunan ekonomi di wilayah Palestin, yang sebahagian besarnya musnah menjadi sisa runtuhan akibat pengeboman tanpa henti Israel selama dua tahun.

Pada Sabtu, pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata: “Pengumuman berhubung komposisi Lembaga Eksekutif Gaza, yang tertakluk di bawah Lembaga Keamanan, tidak diselaraskan dengan Israel dan bertentangan dengan dasarnya.”

“Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri Luar Negeri untuk menghubungi Setiausaha Negara AS berhubung perkara ini.”

Langkah ini dibuat selepas jawatankuasa teknokrat Palestin yang ditugaskan mentadbir Gaza di bawah seliaan Lembaga Keamanan mengadakan mesyuarat pertamanya di Kaherah.

Di Kanada, pembantu kanan Perdana Menteri Mark Carney berkata beliau berhasrat menerima jemputan Trump, manakala di Turkiye, jurucakap Presiden Recep Tayyip Erdogan memaklumkan beliau diminta menjadi “ahli pengasas” lembaga itu.

Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty berkata Kaherah sedang “meneliti” permintaan agar Presiden Abdel Fattah al-Sisi menyertainya.

Berkongsi imej surat jemputan itu, Presiden Argentina Javier Milei menulis di platform X bahawa ia “satu penghormatan” untuk menyertai inisiatif berkenaan.

Dalam satu kenyataan kepada AFP, Blair berkata: “Saya berterima kasih kepada Presiden Trump atas kepimpinannya menubuhkan Lembaga Keamanan dan berbesar hati dilantik ke Lembaga Eksekutifnya.”

Blair adalah tokoh kontroversi di Asia Barat susulan peranannya dalam pencerobohan Iraq pada 2003. Trump sendiri tahun lalu menyatakan beliau mahu memastikan Blair menjadi “pilihan yang boleh diterima oleh semua”.

Rumah Putih memaklumkan Lembaga Keamanan akan menangani isu seperti “pembinaan kapasiti tadbir urus, hubungan serantau, pembinaan semula, tarikan pelaburan, pembiayaan berskala besar dan mobilisasi modal”.

Pada Sabtu, kumpulan militan Palestin, Jihad Islam mengkritik komposisi Lembaga Keamanan, mendakwa ia melayani kepentingan Israel.

Lembaga itu “muncul mengikut kriteria Israel dan untuk melayani kepentingan pendudukan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Trump, seorang pemaju hartanah, sebelum ini membayangkan untuk mengubah Gaza yang musnah menjadi kawasan peranginan gaya Riviera, walaupun beliau menarik balik seruan untuk memindahkan penduduk secara paksa. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here