Bangkok, THAILAND: Sambutan hebat buah-buahan daripada Thailand di China terus meningkat, dengan pesta jualan terbaru di bandar pelabuhan mega Guangzhou, menunjukkan sambutan amat memberangsangkan.
Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP), berkata tempahan pada Bulan Emas Buah-buahan Thailand dan Pesta Durian Thailand yang sedang berlangsung, kini bernilai 20 juta baht (RM2.67 juta), meningkat 260 peratus, berbanding tempoh sama pada 2022.
Pesta di seluruh bandar dengan 18.6 juta penduduk itu diadakan oleh rangkaian pasar raya Lotus, yang dikendalikan konglomerat Thailand, Charoen Pokphand (CP) Group.
Ketua DITP, Phusit Ratanakul Sereroengrit, menganggarkan jualan ketika acara itu akan melebihi 80 juta baht (RM10.67 juta), manakala nilai jualan dalam talian dijangka melebihi 500 juta baht (RM66.74 juta).
Thailand sudah pun menjadi pengeksport buah terbesar dunia ke China, memperoleh 168 bilion baht (RM22.43 bilion) pada 2022 apabila jualan meningkat 3.72 peratus daripada tahun sebelumnya.
Pembeli China di Guangzhou membeli durian Thailand, manggis, longan, rambutan dan kelapa ketika pesta jualan itu, yang menawarkan diskaun dan demonstrasi cara mengupas serta memakan buah-buahan.
Acara yang paling menarik adalah di Grand View Mall di pusat Guangzhou, yang memberi peluang kepada pembeli untuk merasai pelbagai jenis durian, seperti Mon Thong, Kan Yao dan Puan Mi.
Buah berduri itu turut dihidangkan kepada pembeli Guangzhou dalam bentuk aiskrim, durian sejuk beku dan kuih durian.
Pesta itu turut dimeriahkan dengan persembahan Muay Thai dan tarian tradisional Thailand, selain permainan interaktif dengan hadiah bertemakan buah-buahan Thailand.
Kemeriahan pesta itu juga meluas di laman sosial dengan promosi melalui pentas media sosial seperti Weibo, WeChat, Xiaohongshu, TikTok dan KOLs.
Sementara itu, rangkaian runcit CP menggunakan analisis Big Data untuk menyasarkan seramai mungkin pelanggan di China.
Sumber: BH Online & AGENSI
Imedikel TV






