Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan sudah mencapai 72 peratus penempatan pekerjaan di negeri ini iaitu sebanyak 5,003 individu sudah mendapat pekerjaan.
Menurut Pengarahnya, Nora Yaacob, jumlah itu adalah bermula Januari hingga September 2023.
“Manakala bagi keseluruhan pencapaian dari tahun Januari 2020 hingga September 2023, keseluruhan penempatan pekerjaan lebih 37,000.
“Ini menunjukkan sumbangan PERKESO untuk mengurangkan pengangguran di Kelantan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs TVET, Negeri Kelantan, 2023, di sini, hari ini.

Nora berkata PERKESO mensasarkan 6,888 penempatan pekerjaan yang akan dicapai sehingga akhir tahun ini.
“Ini menerusi karnival dan temuduga yang dijalankan tidak kira harian, mingguan dan bulanan,”katanya.
Sementara itu Nora berkata pihaknya turut membantu golongan bersasar termasuk belia, Orang Kelainan Upaya (OKU), golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di pejabat PERKESO dan Pusat Satelit MyFutureJobs.
Katanya terdapat lebih kurang 8 buah pusat satelit termasuk Kolej Poly-tech Mara, Kota Bharu, MYFutureJobs Centre@UTC Kelantan, Pusat Komuniti Desa (PKD) Bukit Tandak, Rantau Panjang, Pusat Khidmat Dun (PKD) Alor Jerengai, Bachok PKD Gual Ipoh, Tanah Merah, PKD Sungai Sam, Kuala Krai, Pusat Khidmat ADUN Galas, Pusat Ekonomi Digital PEDi, Buluh Kubu.

IMEDIKEL TV






