Home Buletin Semasa PENYAKIT X DAN KESIAPSIAGAAN MALAYSIA

PENYAKIT X DAN KESIAPSIAGAAN MALAYSIA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan berkenaan “Penyakit X” kini yang sedang menjadi tumpuan banyak pihak.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan media, penyakit X adalah istilah yang digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2018, merujuk kepada sejenis patogen yang tidak diketahui, namun ia berpotensi menyebabkan wabak di seluruh dunia.

“Istilah ini diperkenalkan bagi menggalakkan peralihan tumpuan penyelidikan dari strain virus tunggal ke arah pengkelasan virus yang lebih menyeluruh, seterusnya memperkukuhkan kapasiti global dalam kesiapsiagaan menghadapi patogen yang belum dapat dikenalpasti ini.

“WHO juga menekankan keperluan perancangan yang fleksibel dan pemantapan kesiapsiagaan bagi menghadapi Penyakit X ini,” katanya dalam suatu kenyataan.

Katanya kemunculan penyakit-penyakit seperti SARS, MERS, Ebola, dan COVID19 sepanjang tiga dekad yang lepas telah membawa ancaman berterusan kepada kesihatan dan ekonomi dunia.

Faktor-faktor seperti perubahan iklim, ekosistem, dan urbanisasi telah menyumbang kepada risiko peningkatan wabak pada masa akan datang.

Menurut Dr. Muhammad Radzi, untuk mengatasi ancaman 2 ini, WHO menekankan kepentingan proses saintifik yang telus dalam kajian asal usul virus.

”Walaupun ciri-ciri Penyakit X masih belum dikenal pasti dan waktu berlakunya penyakit ini belum diketahui, pakar-pakar kesihatan telah menyuarakan kebimbangan terhadap impaknya. Berbanding dengan COVID-19 yang kurang menyebabkan kematian, Penyakit X dijangka akan mudah tersebar seperti campak dan mungkin mengancam nyawa seperti Ebola.

Menurutnya penularan Penyakit X boleh berasal dari pelbagai sumber termasuklah secara zoonotik, iaitu jangkitan dari haiwan kepada manusia.

Tambahnya, kadar penyebaran Penyakit X akan semakin meningkat seiring dengan peningkatan kontak manusia dan haiwan, ditambah dengan pergerakan manusia merentas negara yang semakin mudah sekarang.

“Sebagai pemantapan kesiapsiagaan bagi menghadapi penyakit yang belum diketahui ini, pelan pandemik yang komprehensif, perluasan kempen vaksinasi dan penyediaan peruntukan khas pandemik adalah penting seperti yang disarankan oleh WHO.

Begitu juga dengan pemantauan berterusan, tindakan proaktif, penggunaan antibiotik yang rasional, langkah-langkah kawalan, dan kerjasama antarabangsa. Selain itu, pendekatan “One Health” yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dan kesihatan alam sekitar adalah komponen yang penting untuk mengeratkan kerjasama antara pelbagai disiplin.

Penjagaan kesihatan individu dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti senaman, menguruskan berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok juga boleh memantapkan kesiapsiagaan terhadap Penyakit X,” katanya. -KKM-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here