JOHOR BAHRU: Terdapat 20 pempamer menjayakan Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia (KBM) 2023 Zon Selatan dan produk yang dibawakan merangkumi kepelbagaian produk atau kluster dari keunikan tiga negeri berbeza di Selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan media, penganjuran Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 Zon Selatan ini adalah bagi menggalakkan rakyat di kawasan selatan tanah air untuk memberikan keutamaan kepada barangan buatan tempatan dan merupakan salah satu inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri), KPDN, Datuk Roziah Abudin, merasmikan Majlis Perasmian Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 Zon Selatan yang berlangsung pada 5 Oktober hingga 8 Oktober ini, di Paradigm Mall, di sini.
Pelaksanaan KBBM pada tahun ini adalah langkah tepat Kerajaan dan KPDN dalam meneruskan usaha bagi memartabatkan barangan Malaysia dikala isu kos sara hidup yang meningkat dan krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia ketika ini.
Antara inisiatif-inisiatif KBBM yang dilaksanakan pada tahun ini termasuklah melalui inisiatif pemerkasaan produk tempatan di dalam industri peruncitan tempatan dan platform dalam talian, inisiatif media animasi digital, inisiatif jualan bertema berdasarkan segmen khusus dan juga pelaksanaan Jelajah Mini KBM yang akan menjelajah ke 5 zon/wilayah di Malaysia di samping pelaksanaan acara kemuncak KBM pada penghujung tahun nanti.
Justeru itu, KPDN menerusi penganjuran Jelajah Mini KBM 2023 yang juga merupakan sebuah inisiatif yang ditambahbaik menerusi inisiatif KBM dan buat julung kalinya akan dilaksanakan dalam skala yang sederhana ke lima zon/wilayah di seluruh Malaysia.
Diharap dapat karnival tersebut menjadi pemangkin dalam merancakkan kembali pembelian barangan buatan Malaysia di samping mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa khususnya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan.
Jelajah Mini KBM itu juga menampilkan pemain-pemain industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dipilih untuk memperkenalkan barangan mereka kepada masyarakat setempat.
Antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan termasuklah pameran dan jualan, sesi advokasi dan bermacam-macam aktiviti menarik untuk para pengunjung. – KPDN –
IMedikel TV






