Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Ramai yang menghadapi situasi getir apabila berdepan detik kecemasan seperti lemas, demam panas atau sukar bernafas.
Namun tidak ramai yang mengetahui cara untuk melakukan Resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Oleh sebab itu, semua masyarakat termasuk ibu bapa perlu mengetahui ilmu pertolongan cemas sebagai persediaan memberi bantuan pada saat kecemasan.

Seorang ibu tunggal, Salwana Zakaria ketika ditemui berkata, ia bukan sahaja bermanfaat untuk diri sendiri malah sekali gus mampu menyelamatkan nyawa orang sekeliling.
“Tidak kira golongan muda atau warga emas, mereka perlu mempelajari cara yang betul berkaitan pertolongan cemas untuk mengelak panik sekiranya berlaku sebarang kemalangan terutama membabitkan keluarga di rumah.
“Cara membuat cpr juga bukanlah sesuatu yang susah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Cakna Rakyat, di sini, semalam.
Salwana yang juga pencen jururawat berkata, dia teruja apabila membuat demonstrasi CPR dengan menekan dada patung dewasa sebanyak 30 kali.
“Setelah itu, diikuti pula dengan dua pernafasan mulut ke mulut dan ulanginya sebanyak lima kitaran,” katanya.
“Apabila individu itu mempunyai pengetahuan asas pertolongan cemas, jadi secara tidak langsung dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup,” katanya.
Tambahnya, pada masa sama ia dapat mengurangkan kesakitan mangsa sebelum mendapat rawatan selanjutnya.
IMedikel TV






