Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
CAMERON HIGHLANDS: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penilaian keselamatan laluan mendaki di empat gunung di daerah ini.
Empat gunung berkenaan ialah Gunung Berembun terletak dalam Hutan Simpan Ulu Bertam, Gunung Jasar dan Gunung Perdah dalam Hutan Simpan Sempadan Hijau (B) serta Gunung Ruil Hutan Simpan Sempadan Hijau (A).
Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin berkata, penilaian keselamatan dibuat berikutan berlakunya kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat berlaku di daerah ini.

“Pemeriksaan memberi tumpuan pada keadaan laluan dan kawasan berisiko, termasuk kerja mengalihkan halangan, mengenal pasti bahaya serta pemasangan pita keselamatan di lokasi yang bersesuaian,” katanya di sini semalam.
Katanya, pihaknya terpaksa menutup sementara laluan pendakian ke empat gunung yang terletak dalam Hutan Simpan Ulu Bertam dan Hutan Simpan Sempadan Hijau bagi menjamin keselamatan pendaki.
“Kedudukan laluan di lereng bukit menjadi faktor utama penilaian keselamatan dilakukan dengan teliti bagi menjamin keselamatan pendaki. Hujan berlebihan menyebabkan mudah berlaku tanah runtuh.
“Keadaan tanah yang tidak stabil berpotensi mendatangkan risiko kepada pendaki, khususnya ketika hujan dan apabila laluan berada dalam keadaan basah serta licin,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara PHD Cameron Highlands dan JBPM mencerminkan komitmen berterusan dua agensi dalam memastikan keselamatan laluan untuk pendaki selain menjaga kelestarian khazanah hutan Cameron Highlands.
Nasrul Akmal berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan terbabit bagi memastikan tidak ada pendaki dan pengunjung mematuhi arahan penutupan dan tidak memasuki atau menggunakan laluan yang telah ditutup.
Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa mementingkan keselamatan pengunjung dan pendaki, faktor berkenaan mendorong tindakan menutup sementara laluan ke empat gunung terpaksa dibuat.
IMedikel TV






