Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: “Kami mahu Perdana Menteri bantu kami, kami mahu subsidi diesel supaya kami boleh terus beroperasi.”
Demikian suara pengusaha bas persiaran di Pantai Timur yang kini berdepan tekanan kewangan serius susulan kenaikan harga diesel sehingga RM6.05 seliter, sekali gus mengancam kelangsungan operasi mereka.
Timbalan Presiden Persatuan Bas Pantai Timur (PEBAT), Wan Mohd Nuhairi Wan Hamat berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membantu industri tersebut terus bertahan.

Menurutnya, kira-kira 1,000 pengusaha bas persiaran di Pantai Timur kini berisiko ‘gulung tikar’ dan hanya mampu bertahan dalam tempoh dua bulan sekiranya tiada bantuan diberikan.
“Malah keadaan ini juga boleh menyebabkan kira-kira 5,000 pemandu bas hilang pekerjaan dan menjejaskan pendapatan keluarga mereka,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Beliau berkata, kenaikan harga diesel turut memaksa pengusaha menaikkan harga sewaan bas antara 30 hingga 40 peratus bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat.
Katanya, akibat daripada itu ramai pelanggan termasuk sekolah dan institusi pengajian terpaksa membatalkan tempahan kerana tidak mampu menanggung kos yang tinggi.
“Kemungkinan bulan Mei ini akan ada pesta buku, sebelum ini tempahan sekitar RM600, tetapi sekarang meningkat kepada RM800. Pihak sekolah mungkin minta dikurangkan, tetapi kami tiada pilihan kerana kos diesel terlalu tinggi.
“Akhirnya, tempahan terpaksa dibatalkan dan kami juga kehilangan sumber pendapatan,” katanya.
Tambah beliau, pengusaha bas persiaran masih belum pulih sepenuhnya selepas pandemik Covid-19, dan kini berdepan cabaran baharu yang lebih membebankan.

“Selepas Covid-19 kami masih lagi sengsara, Dengan kenaikan diesel sebelum ini pun kami sudah terbeban, apatah lagi dengan kenaikan terkini.
“Bagaimana kami nak bayar pinjaman bas setiap bulan jika keadaan ini berterusan?,” katanya.
Menurut Nuhairi, sekiranya kerajaan sudi memberikan subsidi pada harga RM1.88 atau jika dinaikkan kepada RM2.15 juga pihaknya boleh menerima.
”Kami bersedia berbincang dan menerima apa juga syarat yang ditetapkan kerajaan, asalkan bantuan dapat diberikan demi kelangsungan industri dan kebajikan pekerja,” katanya.
IMedikel TV






