Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI: Seorang penebar roti canai dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh anak saudara perempuannya berusia lima tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Abadi Mohd Yasro, 37, faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Najihah Hamidi.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh memandangkan kes itu berada di bawah bidang Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Abadi didakwa membunuh Puteri Nur Afiyah Qahlesya Shahrul, 5, di Sungai Sedili Besar, di sini, kira-kira jam 8.20 pagi pada 21 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, jika tidak dijatuhi hukuman mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Wan Nuraini Mohd Shapee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 November depan bagi mendapatkan tarikh pemeriksaan kesihatan di Hospital Permai serta laporan bedah siasat.
Pada 21 September lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan maut selepas dipercayai dicampak ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini.
Dalam kejadian itu, suspek turut mengamuk dan mengejar bapa mangsa menggunakan sebilah parang sebelum ditahan polis di lokasi kejadian pada jam 9 pagi.
IMedikel TV






