Home Sukan PENCARIAN PEMAIN ‘NOMBOR 9’ HARIMAU MALAYA BERAKHIR

PENCARIAN PEMAIN ‘NOMBOR 9’ HARIMAU MALAYA BERAKHIR

KUALA LUMPUR: Jaringan sulung Bergson da Silva pada penampilan pertama bersama skuad Harimau Malaya memberi petanda positif terhadap penyelesaian masalah di jentera serangan negara, namun pertemuan dengan Indonesia Isnin ini dianggap ujian sebenar buat gandingan bahagian depan skuad negara.

Memetik laporan Berita Harian, pemerhati bola sepak negara, Sulaiman Hussin berkata, Bergson mempamerkan ciri penyerang nombor sembilan yang selama ini dicari Harimau Malaya ketika membantu skuad negara menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN FIFA di Stadium Gelora Bung Karno (GBK, di Jakarta, semalam.

Malah, beliau melihat kombinasi Bergson bersama Manuel Hidalgo dan barisan serangan negara termasuk Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim sudah menunjukkan persefahaman baik, meskipun Faisal tidak pernah bermain bersama dalam satu pasukan sebelum ini.

“Untuk barisan hadapan, Bergson bersama Arif Aiman dan Hidalgo mungkin dah selalu main bersama di JDT (Johor Darul Ta’zim) tetapi tidak Faisal. Walaupun tidak bermain dalam satu pasukan (dengan Faisal), tetapi mereka sudah mengenali permainan masing-masing dan ini memudahkan persefahaman mereka di bahagian hadapan.

“Nampak kita agak bahaya di hadapan. Cuma Bergson pada saya masih ada benda-benda lagi bagus yang boleh dipamerkan oleh dia kerana semalam mungkin perlawanan pertama, debut dia di pentas antarabangsa disamping Hidalgo, mungkin mengambil masa sedikit untuk mempamerkan ketajaman.

“Tetapi kita boleh tengok gol yang dijaringkan Bergson. Itulah Bergson. Kita sudah lama mencari pemain nombor sembilan yang berada dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bergson yang baru mendapat kelulusan FIFA untuk mewakili Malaysia mencetak gol ketiga skuad negara ketika menewaskan Bangladesh, manakala Arif Aiman meledak dua gol untuk memastikan skuad negara membuka kempen dengan tiga mata.

Sulaiman berkata, kemenangan itu turut memperlihatkan Harimau Malaya mampu ‘settle down’ lebih awal selain menguasai permainan, namun kekuatan sebenar skuad negara masih belum dapat dinilai sepenuhnya berikutan Bangladesh gagal memberikan tentangan yang benar-benar mencabar.

“Perlawanan semalam kita nampaknya berjaya ‘settle down’ awal dan kita mendahului daripada awal lagi sebelum pasukan Bangladesh sempat bertenang. Kita dapat menggunakan peluang. Kita ada banyak peluang dan apabila menjadikan gol pertama, kita sudah mula yakin.

“Barisan pertahanan juga nampak agak stabil, di tengah kita menguasai dan kita ada barisan hadapan yang baik. Tetapi saya tidak dapat merumus sejauh mana itu adalah kekuatan sebenar kita kerana Bangladesh juga tidak memberikan tentangan yang begitu hebat.

“Mereka nampak agak ‘struggle’ untuk masuk ke dalam permainan dan kita menguasai hampir sebahagian besar perlawanan,” katanya.

Menurutnya, penampilan pertama itu tetap memberi beberapa petunjuk positif terutama menerusi ketajaman jentera serangan yang dilihat mampu menjadi aset penting menjelang pertemuan dengan Indonesia.

“Ini satu bonus dengan kehadiran empat pemain di bahagian hadapan yang cukup tajam,” katanya.

Namun, Sulaiman menegaskan aksi menentang Indonesia di GBK, Isnin ini bakal menjadi ujian jauh lebih besar untuk mengukur kemampuan sebenar anak didik Tan Cheng Hoe itu.

Katanya, Indonesia turut membuka kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Singapura dan keputusan itu menunjukkan skuad tuan rumah mempunyai kualiti untuk memberikan cabaran sengit kepada Malaysia.

“Peluang menentang Indonesia itu adalah satu ujian besar kerana kita melihat Indonesia apabila bermain dalam perlawanan pertama menentang Singapura, mereka menang 2-0. Kita pasti akan dapat satu perlawanan yang hebat dan benar-benar akan mencabar kita dalam perlawanan kedua,” katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman percaya jika Harimau Malaya mampu meningkatkan lagi prestasi yang dipamerkan ketika menentang Bangladesh, skuad negara berupaya memberikan tekanan kepada Indonesia di gelanggang keramat mereka.

“Saya percaya jika kita dapat tingkatkan apa yang kita pamerkan dalam perlawanan menentang Bangladesh, kita boleh merisaukan pasukan tuan rumah. Kita boleh saksikan satu perlawanan yang benar-benar hebat kerana kedua-dua pasukan juga mempunyai ramai pemain naturalisasi.

“Pastinya satu perlawanan yang hebat bakal kita saksikan dan saya berharap pasukan Malaysia boleh menang perlawanan kedua ini untuk meletakkan mereka di tempat yang selesa bagi perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here