Home Buletin Semasa PEMANDU MYVI TERSEPIT SELEPAS TERBABAS REMPUH PENGHADANG JALAN

PEMANDU MYVI TERSEPIT SELEPAS TERBABAS REMPUH PENGHADANG JALAN

41
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Seorang lelaki berusia 40-an cedera selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh penghadang jalan berhampiran Simpang Tiga Kolej Vokasional Kuala Krai, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.52 petang itu, mangsa yang memandu sebuah Perodua Myvi mengalami kecederaan dan tersepit di tempat duduk pemandu, manakala seorang penumpang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 sebelum sepasukan anggota dari BBP Kuala Krai bergegas ke lokasi.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 3.56 petang dan mendapati sebuah Perodua Myvi terbabas sebelum melanggar penghadang jalan.

“Pemandu lelaki didapati tersepit di tempat duduk pemandu, manakala penumpang kanak-kanak telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan laluan pintu belakang kenderaan sebelum menyerahkannya kepada petugas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Selepas operasi menyelamat selesai, anggota bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan bagi memastikan laluan selamat digunakan,”katanya.

Operasi itu membabitkan sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Operasi berjaya dikawal pada jam 4.03 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 4.33 petang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here