KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Aslam kembali mencuri perhatian netizen selepas memuat naik sebuah video yang memaparkan momen bahagia bersama keluarganya.
Memetik laporan Berita Harian, Aslam atau nama sebenarnya Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 27, berkongsi hantaran video terbabit menerusi akaun TikTok miliknya, kelmarin.
Menerusi hantaran berkenaan, Aslam dilihat meluangkan masa melakukan pelbagai aktiviti harian bersama isteri tercinta yang juga pempengaruh, Umisya Mazlan bersama anak-anak mereka.
Perkongsian berkenaan ternyata menuai reaksi positif dalam kalangan warganet yang rata-rata memuji tindakan Aslam yang kini dilihat memberi fokus sepenuhnya terhadap keluarga kecilnya itu.
“Sukanya tengok, ini baru betul. Semoga dalam lindungan Allah selalu,” tulis netizen.
“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Fokus pada isteri dan anak-anak. Insya-Allah rezeki tak putus,” tulis warganet.
“Mungkin pernah tersasar, tapi pasti akan kembali ke rumah yang isinya ada isteri dan anak-anak. Anak-anak itu pengikat kasih sayang yang kuat,” tulis warga maya.
Sebelum ini, Aslam mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengikutnya apabila memuat naik sebuah hantaran berlatarbelakangkan bunga kekwa berserta kapsyen puitis di Instagram Story, baru-baru ini.
“Ada yang menilai terlerainya sangkar, namun tidak pernah tahu mengapa burung memilih terbang. Cukuplah mengisi bekal untuk hari esok, bukan mencari cela di halaman orang,” tulisnya.
Meskipun enggan mendedahkan maksud sebenar di sebalik luahan terbabit, perkongsian itu bagaimanapun mencetuskan spekulasi ramai yang mengaitkannya dengan kisah rumah tangga bersama bekas isteri.
Pada 22 Jun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menerusi prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk memutuskan Aslam dan Marissa Dania, 21, bukan lagi pasangan suami isteri.-BH Online-
IMedikel TV






