Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang dipercayai memasuki negara ini secara haram dalam operasi di kawasan Pasir Pekan Hilir, Tumpat.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, penahanan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu membabitkan Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris hasil risikan serta rondaan rutin di perairan berkenaan.

“Aset Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan kira-kira jam 11.47 malam mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap dan mencurigakan bergerak laju menghala ke Kota Bharu.
“Bagaimanapun, bot berkenaan berjaya meloloskan diri berikutan keadaan air sungai yang cetek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut beliau, operasi pencarian diteruskan sebelum sebuah lagi bot dikesan merapat ke tebing Sungai Kampung Pasir Pekan Hilir pada jam 12.20 pagi bagi menurunkan beberapa penumpang.

“Selepas menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia, bot tersebut terus memecut meninggalkan lokasi.
“Anggota kemudiannya menjalankan pemeriksaan di kawasan berhampiran sebelum menemukan lapan individu bersembunyi di dalam semak yang dipercayai adalah pendatang tanpa izin,” katanya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua individu terbabit terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita dewasa warga Myanmar serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Mereka juga dipercayai memasuki negara ini tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan.
“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk proses dokumentasi dan diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,”katanya.
IMedikel TV






