Oleh: Athirah Azman@I Medikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada golongan miskin dan miskin tegar untuk menceburi bidang keusahawanan.
Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU), Jasri Kasim berkata pihaknya merancang untuk mengeluarkan golongan berkenaan daripada kepompong kemiskinan.
“Sebenarnya kita telah pun memberi ruang kepada golongan miskin dan miskin tegar yang ingin berniaga seterusnya kita akan cuba membentuk mereka sehingga memberi keuntungan kepada mereka,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas Program Jelajah eKasih@Kota Lama, di Dataran Muhammadi, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kerajaan berada di landasan yang betul iaitu dengan memastikan golongan miskin dan miskin tegar mengubah pendapatan mereka menjadi lebih baik.

“Kita juga akan memastikan golongan mereka ini dapat mengail sepanjang hidup dan mempunyai kemahiran yang baru.
“Saya nampak perkembangan yang amat positif dan kita adakan walkabout bukan sahaja bercakap kosong, kita bertindak apabila untuk menoktahkan kemiskinan maka kita bawa program yang sepatutnya untuk membantu rakyat,” katanya.
Menurut seorang penerima eKasih, Norizan Mohd Nasir, 44, dari Pasir Mas, dia merancang untuk memulakan perniagaan makanan sejuk beku sebaik sahaja bantuan disalurkan.

“Saya merancang untuk membuat perniagaan makanan sejuk beku dan sekiranya diberi peluang saya memerlukan mesin penguli tepung untuk hasilkan makanan itu,” katanya.
Norizan berkata, sebelum memulakan perniagaan itu, dia perlu menghadiri kursus yang diadakan oleh kerajaan persekutuan.
Pelbagai kursus yang disediakan dalam bidang itu seperti menjadi usahawan sate, roti canai, makanan sejuk beku, solekan, jahitan dan sebagainya.
I Medikel TV






