Home Buletin Semasa PELANCONG EL SALVADOR MAUT DILANGGAR KENDERAAN LANGGAR LARI 

PELANCONG EL SALVADOR MAUT DILANGGAR KENDERAAN LANGGAR LARI 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Seorang pelancong wanita warga Republik El Salvador maut selepas dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan dalam kejadian di Kilometer (KM) 24.5 Jalan Persekutuan Melawi-Kuala Besut, berhampiran Hotel Sal D’Bali Inn, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.44 malam itu, mangsa, 29 tahun itu dipercayai sedang berjalan kaki di bahu jalan menghala ke Kuala Besut sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu daripada DCC Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh menerusi Kaunter Aduan Trafik IPD Pasir Puteh.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kenderaan yang terbabit masih belum dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pasir Puteh, Inspektor Abdul Munir Mohd Fauzi di talian 013-9872579.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here